Perjuangan Malaysia membantu rakyat Palestin di Gaza walaupun berterusan tetap dipersoalkan pembangkang PN sebagai tidak bertindak tegas terhadap keganasan rejim Israel ke atas umat Islam.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, kritikan pembangkang kononnya cara ketenteraan lebih membantu penduduk Gaza adalah tidak benar.
Katanya, untuk menghantar tentera pengaman perlu melalui saluran antarabanagsa dan penghantaran tanpa jaminan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu hanya dilihat sebagai penentangan terbuka ke atas Amerika Syarikat dan negara Eropah yang menyokong Israel.
"Saya rasa kita boleh nilai (tindakan memperjuangkan Palestin) menerusi dasar dasar diperkenalkan oleh mana mana kerajaan tetapi dalam bab ini isu yang terutama, misi yang paling utama ialah menyelamatkan, memperjuangkan warga Palestin
"Pada saya, kita kena ketepikan ego atau bendera partisan masing masing kerana dalam hal ini kita juga tahu sejarahnya, Perang 7 hari (Perang Arab - Israel).
"Siapa sahaja perlu membaca dan mengetahui dari segi kekuatan, kekebalan, termasuklah dana berterusan oleh AS, United Kingdom dan kesatuan Eropah. Ketiga tiga kuasa ini berikan cek kosong, segala kelengkapan ketenteraan, segala senjata dan juga warga mereka yang pergi terbang (berjuang) ke Israel dan menyertai tentera Israel.
"Kita kena faham ini hakikatnya. Dalam keadaan ini kita juga harus faham langkah pragmatis dan rasional. Pada saya kalau kita teliti sejarah tak perlu tanya persoalan tersebut, yang penting tolong jadikan anda dan tindakan anda sesuatu yang berguna," katanya dalam program Borak Dahsyat: "Malaysia Bersamamu Palestin" malam tadi.
Tegas Nurul Izzah, tindakan penghantaran bantuan perubatan, makanan dan sebagainya adalah usaha lebih berhikmah dan berguna.
Bagaimanapun, katanya, bekalan bantuan pun bukan mudah untuk masuk ke Gaza kerana berurusan dengan negara yang dibantengi kuasa kuasa besar dunia menyebabkan pelbagai kekangan berlaku.
"Pada saya, ramai (rakyat Palestin) yang menantikan bantuan. Saya dimaklumkan Indonesia telah menghantar dua kapal yang dihentikan di terusan Suez oleh kerajaan Mesir.
"Kita kena faham beberapa langkah menggunakan hikmah (misi bantuan), dalam apa (tindakan) kita lakukan supaya tidak menambah lagi serangan," katanya.
Nasihat Nurul, lebih baik rakyat Malaysia menyokong apa sahaja usaha ke arah membantu Palestin, tidak mengira siapa pengajurnya kerana hal itu lebih penting daripada pendekatan politik kepartian dan sebagainya.
Comments