
Malaysia ditentukan oleh pemuda pemudinya, sama ada mahu mengamalkan politik majmuk atau kekal dengan corak keras perkauman sejak sekian lama.
Hal itu diungkapkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam ucapan julung kalinya pada Majlis Makan Malam Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan melibatkan pemimpin pemuda parti parti dalam Kerajaan Perpaduan, malam tadi di Saujana Hotel, Subang.
Menurut Dr Akmal, anak muda Malaysia perlu menetapkan pendirian untuk bersama membina kekuatan bersama sebagai bangsa yang bersatu dan tidak lagi bertelagah demi kemajuan masa hadapan.
"Orang muda ini tidak boleh lagi mengikut dengan membuta tuli sahaja. Sebab itu hari ini saya rasa gemuruh, sebab saya rasa kita telah mencatat sejarah negara pertama kali. Tidak pernah difikirkan Ketua Pemuda UMNO berada dalam satu pimpinan saf bersama Ketua Pemuda DAP, Amanah, KEADILAN.
"Tetapi inilah (yang terjadi), bila Allah tetapkan sesuatu pasti ada hikmah di sebaliknya. Sebab itu Malaysia tidak boleh berada dalam kepompong rasisme
"Malaysia ini yang mencorakkan dalam 10 tahun akan datang adalah kita. Bagaimana kita nak maju ke depan, bergantung kepada kita," katanya.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka itu bercerita mengenai pertentangan yang telah ditanam sejak kecil di dalam jiwa kanak kanak di antara dua seteru politik BN dan PH.
Katanya, sejak kecil beliau diberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dijadikan Perdana Menteri dan DAP adalah rasis.
Terbukti, katanya, hari ini kenyataannya amat berlainan. Beliau yang sejak awal berkata tidak berminat kepada fahaman rasisme kurang senang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyambut cara berpolitik bekas sekutu UMNO, Pas yang jumud.
Malah katanya, apabila UMNO bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) ahli parti itu terikut ikut pula sikap ekstrem Pas.
"Bila kita bersama dengan MN kita terpaksa mengikut keekstremisan mereka (Pas). Pertama kali saya tengok sahabat saya pakai ketayap, jubah. Saya rasa benda ini bukan jiwa kita kita, bukan identiti kita. Identiti UMNO selama ini adalah identiti tidak pernah menjadi ekstremis.
"Sebab itu bila saya duduk dengan rakan rakan (sebelum jadi Ketua Pemuda), saya rasa kalau kita nak melihat Malaysia ini berwajah Malaysia (yang majmuk) maka (peluang itu) berada di tangan orang muda.
"Maka kita bila menjadi pemimpin orang muda, kita kena create kita punya cara, kita kena buat apa yang kita nak buat. Kita tidak boleh ikut apa yang orang lama telah aturkan untuk kita," katanya lagi.

Manakala Timbalan Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP, Young Syefura Othman dalam ucapannya berkata beliau tidak sangka yang lawan politiknya di Pahang akan bersama dalam Kerajaan Perpaduan pada waktu ini.
Kata Ahli Parlimen Bentong itu, pertarungan antara PH dan UMNO amat sengit di Pahang namun tidak sangka pada majlis tersebut beliau akan duduk semeja dengan Ketua Pemuda UMNO.
"Saya berharap perpaduan kita ini dapat diteruskan. Bukan setakat menghadapi PRN, bukan setakat satu penggal ini tetapi berpenggal penggal
"Ini perpaduan yang kita mahukan sejak lama. Saya yakin dengan komitmen yang kita ada, prinsip kita dan semangat kita akan dapat membawa Malaysia lebih baik, Malaysia di bawah PMX, TPM kita dan di bawah pimpinan kita semua
"Saya berharap kita sebagai orang muda kena tunjukkan contoh yang baik dan bersedia bangunkan politik yang matang untuk kita tunjukkan sikap yang positif, yang baik. Kita perlu pastikan politik masa akan datang tidak lagi bermain di sekitar agama sempit, isu lapuk (perkauman) dan sebagainya," kata Sefura.