top of page

Malaysia sertai mesyuarat tergempar OIC bincang rancangan Israel jarah Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 24
  • 1 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Malaysia akan menyertai Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berhubung rancangan rejim Israel untuk menduduki semula sepenuhnya Semenanjung Gaza.


Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili Malaysia ke mesyuarat yang dijadualkan di Jeddah, Arab Saudi pada Isnin ini.


"Penyertaan Menteri Luar Negeri ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC adalah komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak Palestin untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.


"Mohamad Hasan dijadualkan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di sela-sela mesyuarat itu berhubung usaha bersama menamatkan kesengsaraan penduduk Palestin di Gaza yang diakibatkan oleh sekatan bantuan kemanusiaan berterusan oleh rejim zionis Israel," jelas kenyataan tersebut.


OIC memanggil mesyuarat tergempar itu susulan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tenteranya mempercepat pelaksanaan rancangan menduduki Bandaraya Gaza secara paksa, selain visi peluasan wilayah 'Greater Israel' yang melanggar perundangan antarabangsa.


Rancangan yang diluluskan pada 8 Ogos, menyeru supaya hampir sejuta penduduk dipindahkan ke selatan, mengepung Bandaraya Gaza dan melancarkan serangan darat ke kawasan kediaman penduduk.


OIC dalam kenyataan Khamis lalu berkata, selain membincangkan isu tersebut, mesyuarat itu juga akan memberi tumpuan kepada penyelarasan pendirian berhubung isu "genosid dan malapetaka kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Gaza."


Mesyuarat tergempar peringkat Menteri Luar Negeri OIC kali ini penting dalam merumuskan pendirian bersama negara anggota Islam terhadap tindakan berterusan Israel, selain menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa dalam menghentikan penindasan terhadap Palestin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page