top of page

Malaysia sedia jadi negara peneraju teknologi hijau Selatan Global

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 18 minutes ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) pada sidang G20 baru-baru ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia berada pada tahap kesediaan tinggi untuk muncul sebagai peneroka teknologi baharu dalam pengurangan karbon dan tenaga hijau, selain menawarkan kerjasama secara fleksibel kepada negara-negara dalam kelompok Selatan Global.


Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Faiz Na’aman berkata tawaran Perdana Menteri agar negara-negara membangun melihat Malaysia sebagai alternatif kepada pasaran teknologi yang sebelum ini didominasi negara maju adalah langkah strategik sejajar perkembangan semasa.


"Selama ini negara-negara membangun terlalu bergantung kepada negara maju yang terikat pelbagai tarif dan regulasi. Ucapan PMX ini menunjukkan Malaysia hadir sebagai rakan strategik yang lebih mudah diakses dan setara.


"Malaysia bukan sekadar menyeru kerjasama, tetapi telah mencapai kemajuan ketara dalam teknologi hijau selari komitmen Kerajaan Madani dalam agenda perubahan iklim.


"Kerajaan Madani berada dalam landasan yang bukan sahaja betul, tapi cukup serius untuk nak membantu dunia mengurangkan kesan perubahan iklim dengan menawarkan teknologi inilah," katanya kepada Suara Keadilan.


Beliau menambah teknologi karbon rendah di Malaysia semakin matang dan bukan lagi bidang baharu kerana negara telah berjaya melahirkan pelbagai pakar termasuk pemain industri utama dan pengguna di pelbagai lapisan.


"Dekat Malaysia pun makin maju, makin establish (terampil), da n bukan lagi benda baru. Kita pun telah menghasilkan banyak pakar, banyak pemain industri dalam bidang teknologi mengurangkan karbon dan teknologi hijau," katanya.


Menurut Faiz yang juga merupakan sarjana perubatan berkata, penggunaan teknologi hijau kini bukan hanya digunakan oleh sektor industri malah sudah diterima pakai oleh pengguna peringkat bawahan sebagai sebahagian daripada budaya penggunaan moden.


Tegas Faiz, mesej utama yang ingin disampaikan Perdana Menteri melalui pentas G20 ialah Malaysia sudah bersedia menjadi penyumbang ilmu, bukan hanya pengguna.


"Ucapan Perdana Menteri itu nak memberitahu bahawa Malaysia telah pun bersedia untuk berkongsi kemahiran, pengalaman, teknologi dan kebolehannya untuk dimanfaatkan juga oleh negara-negara yang membangun dalam kelompok Selatan Global.


"Langkah ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada negara-negara rakan, tetapi dalam jangka panjang mampu meletakkan Malaysia pada kedudukan negara maju baharu dalam kelompok ekonomi utama dunia.


"Ini sebenarnya boleh melonjakkan Malaysia satu hari nanti, insya-Allah, sebagai negara maju yang baru dalam kelompok G20 tersebut," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page