Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia dan Republik Kyrgyz meningkatkan kerjasama dua hala dalam pembangunan industri halal.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan bersama Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov berkata kedua-dua pihak menyedari kepentingan industri halal yang semakin meningkat dalam ekonomi global dan potensi untuk pembangunan ekonomi.
"Kedua-dua pihak akan menggalakkan pembangunan kriteria dan standard yang sama dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan halal serta pembangunan infrastruktur yang diperlukan, termasuk makmal dan pusat latihan, memulakan pertukaran pengalaman dan amalan terbaik dalam pensijilan, pengeluaran serta pengedaran barangan dan perkhidmatan halal," katanya menerusi kenyataan tersebut.
Anwar kini dalam lawatan rasmi selama dua hari ke republik itu yang menjadi negara pertama dikunjungi dalam lawatan rasminya ke Asia Tengah.
Selain Kyrgyz, Anwar turut dijadualkan ke Kazakhstan dan Uzbekistan.
Sementara itu PM berkata, Malaysia dan Republik Kyrgyz turut bersetuju untuk melaksanakan dan mewujudkan keadaan yang menggalakkan untuk meningkatkan perdagangan dua hala bagi menarik pelabur dan memudahkan perniagaan antara kedua-dua negara.
Bidang kerjasama yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin, antara lain ialah dalam bidang pertanian, perindustrian, tenaga, ekonomi kreatif, pengangkutan, perdagangan, perlombongan dan industri tekstil, termasuk bertukar-tukar pengalaman mengenai operasi zon ekonomi bebas.
PM Anwar dan Zhaparov turut menyatakan kesediaan mereka untuk usaha sama, pemindahan teknologi dan pelaburan dalam meningkatkan dan mengembangkan sektor ini.
Kedua-dua pemimpin mengakui bahawa mewujudkan jaringan udara secara terus antara kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam pembangunan perdagangan dan hubungan ekonomi, dengan kedua-dua pihak menyokong dan menggalakkan rundingan antara syarikat penerbangan kedua-dua negara untuk membuka laluan udara secara terus yang baharu.
Justeru Malaysia dan Republik Kyrgyz akan membangunkan pelancongan mampan sebagai faktor dalam mengukuhkan hubungan budaya dan perniagaan antara kedua-dua negara.
Comments