Malaysia raih potensi pelaburan RM8.13 bilion pada lawatan PM ke Itali
- Suara Keadilan

- Jul 4
- 1 min read

Malaysia meraih potensi pelaburan berjumlah RM8.13 bilion dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi ke Itali yang berakhir semalam.
Potensi pelaburan itu meliputi sektor termasuk petrokimia, jentera, peralatan minyak serta gas, sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan sektor perkhidmatan.
Mengulas hasil lawatan itu, Perdana Menteri berkata, Itali berhasrat meningkatkan hubungan dua hala, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN dengan melihat potensi ASEAN sebagai penggerak utama dalam kegiatan rantau serta ekonomi.
"Seperti mana kita sedia maklum, beberapa persetujuan kerangka dalam merancakkan kegiatan ekonomi dicapai, ada projek bersama antara PETRONAS dan syarikat Eropah berpangkalan di Itali yang mempunyai kekuatan dari segi biokimia dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) iaitu ENI.
"Termeterai perjanjian antara mereka dan sekarang kita nampak ada syarikat Jepun dan Indonesia, Pertamina mahu bersama. Sebaik sahaja dilancarkan nanti, ia adalah antara projek terbesar di rantau ini yang membabitkan CCUS dan biokimia," katanya dipetik BH.
PM berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja ke Itali, semalam.
Pada masa sama, Anwar juga menjelaskan kerjasama antara PERODUA dengan syarikat Itali, Magna Styer, membabitkan bateri kenderaan elektrik (EV) dijangka dimeterai selewat-lewatnya Disember depan, sekali gus menunjukkan keyakinan syarikat daripada negara Eropah itu terhadap industri automotif negara.
Turut serta dalam lawatan ke Itali ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.









Comments