top of page

Malaysia perlukan RUU Anti Diskriminasi, atasi masalah perkauman


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Thiban Subbramaniam meminta kerajaan supaya memulakan usaha penggubalan Rang Undang-Undang Anti Diskriminasi Perkauman Nasional bagi mengatasi masalah perkauman di negara ini.


Ini selepas berlakunya isu serangan berunsur perkauman di media sosial melibatkan seorang pengguna facebook yang memuat naik komen berunsur provokasi perkauman terhadap atlet muda badminton negara Kisona Selvaduray yang beraksi dalam Piala Sudirman 2021.


"Ramai netizen dan juga rakyat Malaysia yang berbilang bangsa mengecam tindakan individu yang dikaitkan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memuatnaik komen berunsur perkauman terhadap Kisona di Facebook miliknya.


"Insiden ini juga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.


"Namun setakat ini beliau hanya sekadar mengecam dan maklumkan bahawa individu yang juga Pemimpin dari Parti PPBM itu telah memohon maaf secara terbuka serta meletakkan jawatan dalam parti politiknya.


"Apakah ini memadai bagi membendung insiden sebegini tidak berulang lagi? Apakah kerajaan serius dalam membawa agenda Keluarga Malaysia atau ia sekadar bahan kempen," katanya dalam kenyataan.


Justeru, beliau mendesak Faizal supaya memulakan tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat provokasi perkauman bagi memastikan tiada lagi ruang untuk sifat perkauman dalam bidang sukan negara.


"Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan juga harus mengambil langkah proaktif bagi memastikan tiada ruang untuk sifat perkauman di mana-mana juga dengan memulakan Kempen Anti Perkauman seperti mana yang dilakukan di negara barat khususnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).


"Disamping itu, Hari Sukan Negara akan disambut pada 9 Oktober 2021. Saya ingin mencadangkan Hari Sukan Negara tahun ini bertemakan #TolakPerkauman dan #SukanSatukanKita sebagai usaha untuk membendung sifat perkauman dalam negara.


"Atlet muda Kisona dan beberapa atlet lain harus diangkat sebagai ikon perpaduan negara bagi menggerakkan kempen ini," katanya.


Selain mendidik, kerajaan juga perlu berusaha lebih serius melibatkan perundangan dalam membendung penularan virus perkauman ini.


"Ianya bukan sahaja menghancurkan keharmonian antara kaum malah turut membantutkan pembangunan negara.


"Sifat perkauman ini bukan hanya dalam bidang sukan. Berdasarkan Laporan Diskriminasi Kaum 2016 yang dikeluarkan Pusat KOMAS, terdapat lebih kurang 10 trend dimana tindakan diskriminasi berbaur perkauman berlaku di dalam negara antaranya:-

1. Diskriminasi kaum dalam sektor pendidikan

2. Jenayah disandarkan kepada kaum

3. Perkauman dalam sektor perniagaan

4. Diskriminasi berasaskan kod pakaian dan penyampaian perkhidmatan

5. Kumpulan, agensi dan individu yang menggunakan sentimen provokasi perkauman

6. Kumpulan politik, ucapan kebencian dan kenyataan berbaur perkauman

7. Tabiat diskriminasi perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia

8. Diskriminasi kaum atas nama agama

9. Diskriminasi kaum dalam industri lain seperti hiburan

10. Tingkah laku xenophobia kepada warga asing


"Kini masanya untuk kerajaan membentuk satu rang undang-undang yang khusus bagi mengatasi diskriminasi dan perkauman dengan tidak menggunakan Akta Hasutan yang seringkali dilihat sebagai senjata politik," katanya.


Beliau turut menggesa Kementerian Perpaduan Negara dan Menteri Undang-Undang mengkaji semula cadangan memperkenalkan satu rang undang-undang spesifik yang membolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.


"Sebelum ini pernah ada usaha untuk memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan namun ianya menjadi sekadar kenyataan polemik.


"Usaha meratifikasi ICERD pula gagal kerana ianya dilihat sebagai satu ancaman dan tidak sesuai dengan amalan di Malaysia.


"Namun, kerajaan boleh memperkenalkan satu akta mengikut acuan kita sendiri yang mampu memperincikan tindakan undang-undang bagi mengatasi masalah isu hina agama, kaum, diskriminasi berdasarkan agama, kaum dan warna kulit yang semakin menjadi," katanya.


Katanya, kerajaan boleh mengambil contoh dari kerajaan Singapura yang bakal memperkenalkan perundangan baharu yang bersifat punitif atau bukan menghukum bagi memupuk pekerti dan norma sosial.


"Akta Keharmonian Kaum itu akan menggabungkan semua undang-undang sedia ada berkaitan isu perkauman termasuk undang-undang kanun jenayah.


"Perundangan sebegini harus dikaji dan diterapkan dalam penggubalan undang-undang anti diskriminasi dan anti perkauman di Malaysia," katanya.


Tambahnya, selain mendesak kerajaan untuk menggubal undang-undang Anti Diskriminasi dan Anti Perkauman, beliau juga akan menggerakkan platform advokasi berkaitan rang undang-undang bersama Biro Undang-Undang AMK Malaysia bagi mendapatkan lebih banyak input berkaitan undang-undang ini.


"Satu pertemuan bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan turut akan diusahakan bagi memastikan ada usaha yang lebih serius diperingkat Parlimen untuk membendung isu hina agama dan isu perkauman yang semakin menjadi.


"Selain itu, AMK Malaysia turut bersolidariti bersama Kisona dan semua atlet negara mengharumkan nama negara di arena antarabangsa.


"Kita sebagai rakyat Malaysia sentiasa harus berganding bahu memerangi virus perkauman sempit yang memecahbelahkan kita. Poltik perkauman juga harus dihindari bagi menjamin Malaysia yang sejahtera," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page