top of page

Malaysia perlu pimpin usaha bantuan musim sejuk ke Gaza - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

ree

Malaysia perlu segera mengimbangkan penghantaran bantuan musim sejuk ke Gaza, Palestin sambil mendesak Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menamatkan sekatan Israel yang menghalang kemasukan barang keperluan kritikal.


Demikian tegas Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).


Dalam kenyataan hari ini, beliau memberi amaran bahawa keadaan di Gaza kini memasuki tahap bencana kemanusiaan paling kritikal selepas Ribut Byron membawa hujan lebat, angin kencang dan banjir musim sejuk ke wilayah yang sudah pun hancur akibat konflik.


"Ini bukan lagi krisis kemanusiaan. Ia adalah penerusan pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan di bawah keadaan musim sejuk yang teruk," kata Mohd Azmi.


Menurut laporan Al Jazeera dan agensi PBB, 850,000 penduduk Palestin kini kehilangan tempat tinggal di 761 tapak berisiko banjir, manakala lebih 200 kem telah dinaiki air, menjejaskan sekurang-kurangnya 140,000 orang.


Walaupun keperluan mendesak mencecah 300,000 khemah, hanya 40,000 dibenarkan masuk setakat ini.


MAPIM turut memaklumkan bahawa keluarga terpaksa meninggalkan perlindungan yang ditenggelami air, menggali parit bagi menghalang banjir memasuki khemah, dan mencari perlindungan dalam bangunan musnah yang berisiko runtuh.


Mohd Azmi menyelar tindakan Israel yang didakwa terus menyekat atau menangguhkan kemasukan peralatan asas termasuk khemah, alat pembaikan sistem air, peralatan kumbahan serta bahan perlindungan.


"Sekatan ke atas alat untuk membaiki sistem kumbahan dan air mewujudkan risiko bencana pencemaran air dan penyakit," ujarnya.


Pegawai PBB turut memberi amaran bahawa kanak-kanak baru lahir kini antara golongan paling terdedah, dengan hipotermia, dehidrasi dan penyakit bawaan air meningkat mendadak.


Malaysia perlu ambil peranan kepimpinan


Menekankan kedudukan Malaysia sebagai anggota OIC, D-8 dan ASEAN, Mohd Azmi berkata, Malaysia mesti memimpin tindak balas serantau melalui satu Gabungan Tindakan Kecemasan Musim Sejuk, bersama Indonesia, Turkiye, Qatar, Arab Saudi dan Brunei.


Beliau turut menggariskan beberapa tindakan segera yang boleh dilakukan seperti menghantar bantuan kecemasan musim sejuk ke Gaza, termasuk khemah bertebat, selimut terma, pakaian musim sejuk, terpal kalis air, kit pemanas, sistem air bersih dan bekalan perubatan; koordinasi segera dengan OIC, D-8 dan rakan kemanusiaan untuk mendesak akses tanpa halangan bagi bantuan musim sejuk; tekan Majlis Keselamatan PBB agar menguatkuasakan koridor kemanusiaan dan menuntut Israel menarik balik semua sekatan yang menyekat bahan perlindungan dan pembaikan infrastruktur asas; dan mobilisasi aset kemanusiaan Malaysia melibatkan MAPIM, NGO tempatan dan agensi kerajaan melalui saluran Mesir dan PBB.


"Malaysia mesti mengaktifkan tekanan diplomatik melalui platform dua hala dan pelbagai hala untuk menghentikan malapetaka yang semakin teruk ini," ujar Azmi lagi.


Beliau menegaskan bahawa MAPIM bersedia menggerakkan seluruh kapasiti organisasi untuk menyelaras bantuan segera musim sejuk ke Gaza dengan kerjasama kerajaan, agensi antarabangsa dan organisasi masyarakat sivil.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page