Malaysia dan rakyatnya perlu belajar menghormati demokrasi sebagai mana yang ditunjukkan oleh pemimpin dan rakyat di Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Najwan Halimi berkata, negara ini tidak boleh terus menerus melecehkan demokrasi dengan membenarkan kerajaan 'tebuk atap' dan Perdana Menteri masih bertahan biar pun telah hilang majoriti.
"Kalau bercakap soal peralihan kuasa di AS, kita perlu belajar bagaimana AS mengendalikan politik mereka. Kita tahu (presiden) Trump tiada legasi yang baik untuk ditinggalkan. Legasi Trump meninggalkan AS dalam keadaan berpecah, peningkatan keganasan perkauman, minggu sudah dia menggalakkan orang merusuh di Capitol Hill sampai 5 orang meninggal termasuk polis.
"Namun hari ini dia meninggalkan White House. Di sini kita harus belajar kematangan demokrasi AS itu. Peralihan kuasa mana-mana presiden berlaku secara terhormat.
"Macam mana (Trump) buat pun asas demokrasi AS selama 200 tahun masih sama. Tidak ada macam kita, boleh ambil kuasa secara tidak bermaruah, sudah hilang majoriti pun masih kekal PM.
"Tidak ada hormat terhadap Perlembagaan, undang-undang. Yang ini rakyat Malaysia perlu belajar dari negara maju.
"Inilah yang menjamin imej, menjamin maruah sesuatu bangsa bertamadun. Paling dekat kita lihat di Indonesia bagaimana mereka meraikan, menghormati demokrasi.
"Jauh berbeza dengan Malaysia. Ini kita patut belajar," katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia, malam tadi.
Menurut Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik itu lagi, apabila Malaysia memperlekehkan demokrasi maka imej negara di mata dunia merudum.
Katanya, hal itu boleh dilihat apabila sidang APEC hujung tahun lalu diberi liputan suram oleh media antarabangsa dan tidak sebagaimana penganjuran persidangan sama pada 1998.
"Dari segi antarabangsa saya rasa Malaysia antara negara yang dulunya cukup dihormati tetapi sekarang dipencilkan dalam konteks antarabangsa
"Misalnya baru-baru ini kita buat APEC, liputannya cukup hambar walaupun APEC boleh menonjolkan Malaysia sebagai negara membangun yang progresif tetapi kita lihat tidak ada sebarang gegak gempita sebagaimana kita raikan APEC 20 tahun lepas,
"Ini menunjukkan negara luar melihat kita seolah-olah melangkah ke belakang dan dipencilkan," katanya.
Justeru, Najwan secara terbuka menyeru agar negara melakukan riset politik.
Dengan berasaskan sokongan padu rakyat menolak BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, katanya, Malaysia kini telah mensia-siakan peluang terpenting untuk mengubah negara kepada yang lebih baik.
"PRU 2018 adalah titik penting yang boleh mengubah negara ini matang dari segi demokrasi tetapi digagalkan oleh Langkah Sheraton dan kembali ke era 10 tahun lepas dan kita berdepan dengan kerajaan bersifat tirani dan mengongkong kembali.
"Impaknya bagi saya, kita perlu riset semula. Kita perlu ambil dan betulkan sebagaimana yang kita ambil pada 2018 dulu," katanya lagi.
Comments