Malaysia telah pun melepasi tahap negara industri sejak era 1990an lalu.
Tenggelam dalam krisis politik selama dua dekad, negara ini tidak menunjukkan potensi meyakinkan ke tahap seterusnya, iaitu sebagai negara pencipta teknologi atau inovasi produk pengguna.
Bagi Menteri Sains dan Teknologi dan Inovasi, Chang Lih kang, tertubuhkan Kerajaan Perpaduan akan menggilap semula potensi rakyat Malaysia yang tidak dipacu semaksimum mungkin sejak sekian lama.
Katanya, kerajaan ketika ini menunjukkan kesungguhan tinggi dalam memberdayakan sains, teknologi dan inovasi sebagai keutamaan dalam pengembangan ekonomi.
"Hanya dalam masa 4 bulan selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya meraih pelaburan bernilai RM170 bilion daripada negara China.
"Bidang sains, teknologi dan inovasi menjadi salah satu bidang tumpuan utama apabila menerima sejumlah RM32 bilion daripada nilai pelaburan keseluruhan.
"Selain menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berinovasi tinggi, Kerajaan akan memastikan segala pelaburan yang diterima akhirnya akan melimpahkan manfaat kepada rakyat dalam bentuk peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal, peningkatan kemahiran dan juga insentif-insentif kebajikan yang lain," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu mahu rakyat membudayakan sains, teknologi serta inovasi dalam kehidupan seharian mereka.
Katanya, bidang berkenaan akan menjadi pemangkin dan peneraju tahap baharu kemajuan Malaysia.
"Bagi saya, inilah kemuncak kepada pembangunan sains, teknologi dan inovasi iaitu peningkatan taraf hidup rakyat secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan.
"Urusan seharian rakyat menjadi lebih mudah, suasana persekitaran menjadi lebih sihat dan kadar sejahteraan isi rumah terus meningkat.
"Apalah maknanya jika Kerajaan hanya menyebut pelaburan demi pelaburan dan angka demi angka tetapi kehidupan rakyat masih di takuk lama.
"Oleh itu, sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, saya dan pasukan kementerian akan terus memegang iltizam untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara berinovasi tinggi bagi mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih sejahtera," katanya.
Justeru, Lih Kang mahu rakyat memberi ruang dan peluang kepada beliau serta pasukannya di kementerian bagi membuktikan bahawa impian rakyat Malaysia itu boleh dicapai.
Comments