Kedudukan fiskal negara berada dalam keadaan kukuh dan mampu melalui sebarang kejutan ekonomi luar kawalan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, beliau bertanggungjawab membina ‘lantai’ lebih kukuh bagi memastikan rakyat Malaysia menjalani hidup bermaruah.
Justeru jelasnya, kementerian diketuainya bakal melipat ganda usaha itu melalui beberapa kerangka utama reformasi ekonomi yang akan dilaksanakan.
"Penghasilan maklumat sosio ekonomi yang tepat melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), usaha membasmi kemiskinan melalui penjanaan pendapatan, penyasaran semula subsidi dan sebagainya kesemuanya bertujuan untuk membina lantai yang kukuh.
"Tugas kedua saya ialah membina tangga supaya anak Malaysia yang berdaya saing berpeluang menaiki tangga itu (tanpa halangan) untuk mencipta nilai ekonomi yang lebih tinggi bagi dirinya dan negara," katanya dipetik.
Rafizi berkata, usaha tersebut antaranya melalui Dasar-dasar seperti sektor ekonomi bernilai tinggi dari peralihan tenaga, digital dan teknologi, pertanian moden, dasar gaji progresif, GovTech dan reformasi pasaran kerja.
Kesemuanya bertujuan untuk membina satu persekitaran ekonomi yang menawarkan peluang baharu kepada anak dan syarikat Malaysia yang ingin maju.
"Itulah fungsi sebuah kementerian yang diberi amanah merencanakan ekonomi," kata Ahli Parlimen Pandan itu menerusi hantaran di aplikasi X.
Tambah Rafizi, banyak perkara mahu dilaksanakan serentak dan direalisasikan segera, namun usaha bersifat jangka sederhana serta panjang wajar dirancang dengan teliti.
"Perkara-perkara yang perlu dirancang dan dilaksanakan adalah perkara struktur yang hanya dirasai kesannya apabila setiap satu reformasi ekonomi itu berjalan dan saling berhubung antara satu sama lain.
"Maka merancang ekonomi makro pula adalah untuk memastikan dua perkara utama: bahawa mereka yang tidak berkeupayaan (atas sebab-sebab yang dia tidak dapat dielakkan) diberikan perlindungan dan bantuan; sementara mereka yang berdaya perlu diupayakan agar mereka dapat bersaing mencipta nilai (dengan aset ilmu, sikap dan kepatuhan kepada penciptaan nilai)," ujarnya.
Comentarios