
Malaysia mampu memperkukuh pengaruh dan peranannya sebagai Harimau Digital Asia yang baharu, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Ahmad Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN menyatakan keyakinan itu selepas berucap pada Invest Malaysia di Kuala Lumpur sebagai mengulas kemasukan pelabur seperti Amazon Web Services (AWS) dan pelbagai syarikat menubuhkan pusat pemprosesan data serantau di negara ini.
"Kini banyak syarikat memilih Malaysia sebagai pusat memproses data, terutamanya di Johor, Cyberjaya dan Pulau Pinang.
"Memandangkan Malaysia menjadi hab pusat data bagi rantau ini dan seterusnya, negara boleh menjadi tempat latihan bagi pegawai pemprosesan data untuk rantau ini," katanya.
AWS baru-baru ini bersetuju untuk membawa masuk pelaburan RM25.5 bilion ke Malaysia bagi tempoh 15 tahun.
Pelaburan itu dijangka akan memberi kesan positif kepada penawaran tenaga kerja, ekonomi setempat dan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin mendedahkan bahawa politik stabil dan dasar ekonomi jelas kerajaan telah menjadi faktor utama AWS memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Menteri kewangan itu berkata, pelaburan AWS bernilai RM25.5 bilion menjelang 2037 memberi dampak tinggi kerana ia menambah keyakinan pelabur luar terhadap negara.
Sementara itu Fahmi ketika mengulas lanjut keputusan Amazon melabur RM25.5 bilion ke negara ini berkata, ia adalah petanda lebih ramai pelabur akan melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan sesuai untuk mereka.