
Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1995 lalu hari ini telah pun menjadi ideologi politik kontemporari.
Perjalanan penuh liku perjuangan Malaysia Madani itu ditulis dalam buku terbaharu Presiden Persatuan Rapat Rakyat, Mustaffa Kamil Ayub bertajuk "Malaysia Madani: Visi, Cabaran & Pelan Strategik" yang diluncurkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru baru ini.
Menurut Mustaffa, buku beliau itu mengandungi 8 bab yang mana bab pertama mengupas asal usul idea Masyarakat Madani ketika Datuk Seri Anwar masih menjawat Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1995.
"Bab kedua pula tinjauan awal Masyarakat Madani. Ungkapan Madani bermula dari Baginda Nabi s.a.w yang dibina di Madinah. Madinah awalnya (populasi) 50% muslim sewaktu diperknalkan Shahifah (Piagam) Madinah. Ada Yahudi, Nasrani dan Zoroasterian.
"Shahifah Madinah diperkenalkan pada 622M itu kita anggap perlembagaan tamadun manusia pertama
"Bab ketiga pula berkisar idealisme politik, undang undang dan merangkumi sebuah ideologi. Kita boleh anggap Madani sebaris ideologi kapitalis, maxis dan seumpamanya. Sebagai sebuah pemikiran politik Masyarakat Madani berdiri sebagai sebuah ideologi tersendiri," katanya pada majlis peluncuran di Reruai MAPIM, Dewan Tun Razak 4, Aras 4, WTCKL.

Dalam konteks moden pula, kata Mustaffa, ideologi Masyarakat Madani ada dalam konteks globalisasi dan diungkapkan sebagai globalisasi manusiawi serta nilai nilai universal yang perlu diketengahkan.
"Saya bahaskan dalam konteks Malaysia. Kita ini pelbagai kaum tetapi tidak ada masalah besar kalau kita teliti betul betul, Malaysia Madani boleh menjadi pemersatu kepada masyarakat pelbagai kaum.
"Juga diungkapkan bagaimana ekonomi Masyarakat Madani itu yang cenderung kepada ekonomi manusiawai. Tidak terikat kepada ekonomi kapitalis atau sosialis secara mutlak tetapi ekonomi seimbang dalam pasaran bebas, dalam tanggungjawab sosial yang perlu ada dan boleh kita ungkap sebagai ekonomi manusiawi," katanya.
Sementara itu, dalam sesi soal jawab Mustaffa menjelaskan lebih lanjut susur galur sejarah idelogi Madani yang pada awalnya digagaskan Anwar berupa sistem sosial yang subur berasaskan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dan tanggungjawab bermasyarakat. Juga mendorong daya usaha atau inisiatif individu. Di samping sebagai sistem sosial yang cekap dan saksama.
"Soal pertama adalah keseimbangan kebebasan individu dan masyarakat yang dijamin keseimbangannya. Jangan melampau atau melewati sempadan.
"Kedua mendorong daya usaha dari segi inisiatif, pemikiran, seni, teknologi, sistem sosial. Ketiga perlaksanaan pemerintahan mengikut undang undang atau rule of law.
"Namun kemudiannya apabial beliau mengungkap perkara ini dalam dokumen lain pada Oktober 2022, buku membangun negara Madani dan slogan Malaysia Madani pada 2023 banyak perkara dipermudahkan
"Madani mendapat akronim menjadi singkatan KeMampanan, KesejAhteraan, Daya cipta, HormAt, KeyakiNan dan Ihsan," katanya.
Justeru, Mustaffa berkata Malaysia Madani ketika ini dikenali dengan polisi serangan habis habisan ke atas rasuah dan menghapus miskin tegar yang amat sinonim dengan perjalanan pentadbiran Anwar Ibrahim.
Ke hadapan, katanya, Malaysia Madani diharap akan dapat memenuhi kesemua 6 teras yang telah digariskan kepada umum.