top of page

Malaysia lantang, hubungan diplomatik dengan AS kekal kukuh - Yuneswaran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 11
  • 2 min read

Perbincangan meyakinkan PM bersama Setiausaha Negara AS. Foto: Izzuddin Abd Radzak/PMO
Perbincangan meyakinkan PM bersama Setiausaha Negara AS. Foto: Izzuddin Abd Radzak/PMO

Oleh: Akmal Manaf


Malaysia terus mendapat pujian apabila berjaya mengekalkan hubungan diplomatik dan perdagangan yang kukuh dengan Amerika Syarikat (AS) meskipun lantang menyuarakan pendirian tegas dalam isu hak asasi manusia seperti konflik Gaza-Palestin di pentas antarabangsa.


Bagi Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, lawatan Setiausaha Negara AS ke negara ini membuktikan Malaysia mampu mengekalkan prinsip moral tanpa menjejaskan kepentingan strategik negara.


Ujarnya, lawatan itu juga menjadi peluang penting untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan serantau, pendidikan, perubahan iklim dan teknologi.


''Ia mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus mempertingkat hubungan yang saling menguntungkan dan berteraskan saling hormat-menghormati.


''Selain itu, lawatan berkenaan memperlihatkan betapa pentingnya negara kita di pentas dunia, bukan sahaja dalam konteks politik serantau, tetapi juga dari sudut ekonomi dan hubungan dua hala.

R Yuneswaran
R Yuneswaran

''Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, terus memainkan peranan yang signifikan dalam memperkukuhkan kestabilan, kerjasama serantau dan pembangunan ekonomi yang inklusif di Asia Tenggara.


''Kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali namun tegas dalam memperjuangkan prinsip-prinsip antarabangsa menjadikan kita rakan dialog yang dipercayai oleh kuasa-kuasa besar dunia, termasuk Amerika Syarikat,'' katanya yang memuji pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.


Menurut Yuneswaran lagi, sebagai Ahli Parlimen dan wakil rakyat, beliau percaya hubungan diplomatik yang matang itu harus dimanfaatkan untuk membawa manfaat sebenar kepada rakyat.


Manfaat itu katanya adalah seperti membuka peluang pekerjaan, memperluas akses pasaran produk Malaysia, serta memantapkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan global.


''Malaysia akan terus kekal sebagai suara berprinsip, progresif dan aktif di peringkat antarabangsa demi keamanan, keadilan dan kemakmuran bersama,'' ujar beliau yang menyambut baik lawatan berkenaan.


Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak Selasa lalu bagi menghadiri beberapa mesyuarat penting bersama pemimpin ASEAN dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.


Menurut jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tammy Bruce, dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi jabatan itu, Rubio berada di Kuala Lumpur dari 8 hingga 12 Julai ini.


Semalam Marco Rubio menemui PM di Seri Perdana, Putrajaya untuk perbincangan rasmi kedua dua negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page