Malaysia kekal sokong Palestin tuntut kemerdekaan
- Suara Keadilan
- Dec 7, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Malaysia kekal teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak mereka sejak dari dahulu.
Penegasan itu dizahirkan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berhubung, pendirian Malaysia dalam menyokong hak rakyat Palestin bernegara sendiri.
"Malaysia sentiasa menyokong pengembalian hak mutlak bebas kepada rakyat Palestin daripada pendudukan haram Israel, pengembalian hak tanah yang telah dirampas dan hak sebuah negara Palestin yang merdeka.
"Ia berdasarkan garis sempadan pra 1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara," katanya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berhubung pendirian kerajaan berkenaan konflik Israel dan Palestin.
Mengulas lanjut, Zambry berkata Malaysia juga akan sentiasa terlibat aktif dalam penyelesaian konflik berdarah itu melalui rundingan antarabangsa termasuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Saya yakin rakyat Malaysia tahu pendirian Malaysia selama ini serta sepanjang krisis lapan (perang Palestin-Israel) minggu yang berlaku.
"Kita aktif berpartisipasi di peringkat antarabangsa untuk menyegerakan perdamaian dan krisis tidak berperikemanusiaan ini dihentikan dengan segera," ujarnya lagi.
Comentários