Penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2020 oleh Transparency International menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal membawa imej bersih dari gejala rasuah.
Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan berkata Malaysia hanya mencatatkan 51 markah dan jatuh 6 anak tangga ke tangga 57.
"Negara seperti Oman, Rwanda, Bostwana, dan Malta pun mendapat markah yang lebih tinggi berbanding Malaysia.
"Kerajaan PN yang digembar-gemburkan sebagai Kerajaan Melayu Islam telah gagal membawa imej Malaysia yang bersih ke persada dunia," katanya.
Zahir menganggap kejatuhan kedudukan Malaysia itu berpunca daripada sikap pemimpin kerajaan PN yang seolah-olah tidak segan silu mengamalkan rasuah secara terbuka.
"Apakah tiada langsung perasaan malu di kalangan pemimpin Melayu Islam ini bila pentadbiran mereka dicemari dosa rasuah? Jika tiada sekelumit perasaan insaf, tidak mustahil trend markah dan kedudukan negara akan berterusan menurun untuk tahun-tahun yang mendatang.
"Manakan tidak, Perdana Menteri sendiri mengamalkan politik rasuah dengan menawar dan memberi jawatan GLC kepada Ahli Parlimen supaya menyokongnya," katanya.
Jika berterusan, Zahir berpandangan amalan rasuah oleh pemimpin kerajaan ini akan terus menjangkiti di sektor awam dan swasta.
"Penjawat awam terutamanya mereka yang bertugas di bahagian penguatkuasaan, perlesenan dan perolehan sudah pastinya terdedah kepada jangkitan itu. Sementara kita sedang menghadapi pandemic COVID-19, kerajaan PN berterusan menyebarkan wabak jenayah rasuah.
"Bayangkan jika ketirisan berbillion wang dari amalan jijik rasuah itu dapat disalurkan kepada yang berhak menerimanya, banyak masalah rakyat dapat diselesaikan termasuk masalah untuk anak-anak sekolah meneruskan pengajian di waktu pandemik sebegini," katanya.
Pada masa sama, Zahir berkata amalan rasuah kerajaan PN perlu dibanteras segera demi masa depan negara.
"Pastinya rasuah adalah satu jenayah yang memangsakan rakyat. Kita harus fikirkan, ke manakah hala tuju negara yang kita mahu bawa 10-20 tahun mendatang?
"Malaysia adalah negara yang kaya dengan hasil dan khazanah alam. Hanya menunggu untuk ditadbir urus dengan amanah dan penuh tanggungjawab demi rakyat dan negara.
"Kerajaan yang hanya mementingkan kelompok mereka dan tiada kehendak politik (political will) untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara, tiada pilihan lain bagi kita rakyat Malaysia kecuali dinyahkan," katanya.
Comments