Ladang FGV, royalti minyak: T'ganu tidak konsisten guna hujah Kanun Tanah Negara
- Suara Keadilan

- 9 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan Pas Terengganu dibidas kerana tidak konsisten dalam hujahnya berkaitan tindakan menyita ladang diusahakan syarikat FGV Holdings Berhad milik FELDA di negeri itu menggunakan Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Terengganu Muammar Qaddafi Mohd Nasir (gambar) berkata tindakan pemimpin negeri itu bagaimanapun berbeza dalam isu menuntut wang 'royalti' hasil minyak yang didapati bertentangan dengan kanun tersebut dan Perjanjian 1975 dengan Petronas.
"KTN menetapkan semua tanah adalah hak negeri dan apa-apa urusan berkaitan tanah mesti melalui Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Ia juga memperincikan kesalahan seperti menduduki tanah tanpa kebenaran, mengubah syarat guna tanah atau membina tanpa permit.
"Adakah Kerajaan Terengganu sedar bahawa dengan berpandukan Kanun Tanah Negara, Terengganu tidak layak untuk menerima “Wang Tunai Petroleum” atau pun dijaja sebagai ‘royalti’ itu?" katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau mengulas hantaran Exco Terengganu Dr Azman Ibrahim yang memuat naik hantaran "Mereka yang percaya konon wang ladang FGV telah dilunaskan adalah dari kelompok sama yang percaya bahawa royalti minyak Terengganu juga telah dilunaskan."
Muammar Gaddafi yang juga Setiausaha AMANAH Terengganu berkata tuntutan terhadap “hak royalti minyak” Terengganu amatlah janggal dengan Perjanjian 1975 berpandukan Kanun Tanah Negara.
Namun Kerajaan Pusat tetap beri wang dari hasil minyak kepada Terengganu dengan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan dana khas RM1.553 bilion pada 2023, jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun terakhir, katanya.
"Royalti hanya terma yang dipopularkan, namun asasnya tiada. Baik dalam Perjanjian 1975, mahu pun Akta 1974. Perkataan “royalti” tidak pernah disebutkan. Ia hanya terma yang lebih mudah dan biasa digunakan. Namun tidak membawa erti 'royalti' yang sebenar," ujarnya.
Hakikatnya, kata beliau pemberian wang kepada Terengganu adalah ehsan dari Perdana Menteri sama ada dengan terma sebagai royalti, dana khas atau wang ehsan kerana minyak yang dijumpai di luar 3 batu nautika dari pesisir pantai negeri.
Dalam keadaan diberi atas dasar ehsan, kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan negeri masih berulang kali meratib pembohongan kepada rakyat seolah hak royalti dinafikan, ujarnya..
"Kerajaan Pusat boleh untuk tidak menyalurkan 1 sen pun secara terus kepada kerajaan negeri, namun tetap diberi sebahagiannya untuk diuruskan kerajaan negeri dan sebahagian lain secara offset untuk kegunaan kerajaan negeri.
"Demikianlah Pas, diambil jika menguntungkannya, ditolak jika merugikannya tanpa mengira akan kebenaran.
"Jika dalam isu tanah FELDA ini, Kanun Tanah Negara dijadikan hujah, maka mengapa untuk ‘royalti’ dituntut membelakangi Kanun Tanah Negara?" soal Muammar Gaddafi.









Comments