Malaysia dipuji atas kejayaan bebaskan aktivis GSF
- Suara Keadilan

- Oct 8
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kedutaan Palestin di Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kejayaan usaha diplomatik yang membawa kepada pembebasan 23 aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel.
Dalam kenyataan rasmi pada Selasa, kedutaan itu menegaskan bahawa pembebasan tersebut membuktikan keberkesanan diplomasi berterusan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ia termasuk rundingan strategik dengan rakan antarabangsa serta pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan hak kemanusiaan.
"Usaha ini menggambarkan komitmen berterusan Malaysia dalam menentang ketidakadilan dan menjunjung prinsip kemanusiaan di peringkat global," menurut kenyataan tersebut.
Khamis lalu, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean.
Semua mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi menaiki pesawat Emirates EK342 dari Dubai.
Kedutaan Palestin menerusi kenyataannya turut menzahirkan penghargaan kepada para aktivis atas keberanian dan dedikasi mereka dalam menjayakan misi kemanusiaan ke Gaza yang dikepung.
Penghargaan sama turut disampaikan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) serta agensi kerajaan dan NGO lain atas sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
"Tindakan mereka mencabar sekatan haram yang dikenakan oleh penduduk Israel, yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut," kata kenyataan itu.









Comments