top of page

Malaysia cari penyelesaian pragmatik isu dua hala dengan Singapura

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 28 minutes ago
  • 1 min read

DS Anwar menekankan cari penyelesaian terbaik isu dua hala dalam Pemukiman Pemimpin Malaysia–Singapura
DS Anwar menekankan cari penyelesaian terbaik isu dua hala dalam Pemukiman Pemimpin Malaysia–Singapura

Malaysia menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung pelbagai isu dua hala dengan Singapura yang sudah berlarutan lama, demi memastikan ia dapat diselesaikan secara aman.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan ruang udara, bekalan air dan sempadan maritim bersifat kompleks, namun "tidak ada permusuhan" antara kedua-dua negara dalam menanganinya.


"Kedua-dua pihak tidak akan mengambil sebarang tindakan yang menjejaskan pergerakan rakyat atau barangan," katanya dipetik pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong Shyun Tsai sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia–Singapura Ke-12 di Singapura semalam.


Mengulas lanjut isu sempadan maritim, Anwar menegaskan kepentingan mencari penyelesaian secara aman dan pragmatik.


"Saya gembira dapat berbincang secara terus terang dengan Perdana Menteri Lawrence dan anggota kabinet.


"Saya maklumkan kita mesti bekerja ke arah penyelesaian yang baik. Walaupun tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mencapai kemajuan sebahagiannya," katanya.


Perdana Menteri turut memaklumkan, kedua-dua negara kini mempunyai parameter jelas mengenai keperluan masing-masing, sekali gus memudahkan perbincangan teknikal ke arah penyelesaian yang memberi manfaat bersama.


Sementara itu beliau juga mengakui bahawa kedua negara mempunyai pendirian yang sama dalam banyak hal, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang, interaksi dan pertukaran yang boleh dimanfaatkan secara bersama.


"Sudah tentu ada isu lain yang kita bincangkan secara meluas. Isu serantau, isu perdagangan, tetapi saya fikir secara umumnya kita mempunyai pendirian yang sama.


"Selain mesyuarat rasmi, kita perlukan lebih banyak pertukaran serta interaksi antara kedua-dua negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page