Malaysia, Brunei kongsi kebimbangan perkembangan Asia Barat
- Azuan Ab Rahman

- 49 minutes ago
- 2 min read

Malaysia dan Brunei menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan dan konflik di Asia Barat.
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa tindakan ketenteraan—khususnya yang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran serta serangan balas di rantau berkenaan telah mengorbankan nyawa orang awam, merosakkan infrastruktur, dan memburukkan krisis kemanusiaan.
Kedua-dua pemimpin turut menarik perhatian terhadap gangguan lalu lintas maritim di Selat Hormuz yang menjejaskan rantaian bekalan tenaga dan barangan keperluan global.
Justeru menggesa laluan transit kapal dan pesawat yang selamat, tanpa halangan serta berterusan di Selat Hormuz dipulihkan selaras khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
"Semua pihak digesa supaya menahan diri, mengelak ketegangan terus meningkat, menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara, serta kembali kepada dialog dan diplomasi bagi menamatkan konflik serta mencapai penyelesaian," menurut satu kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 di Bandar Seri Begawan pada Sabtu.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut mengecam keras tindakan pembunuhan beramai-ramai serta pembersihan etnik berterusan dilakukan Israel sebagai kuasa pendudukan.
Mereka turut mengecam keganasan tanpa mengira sasaran serta sekatan terhadap akses kemanusiaan dan penyaluran bantuan yang mengakibatkan korban besar-besaran serta penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.
Selain mengalu-alukan momentum global yang semakin meningkat ke arah pengiktirafan negara Palestin, sekali gus mengulangi gesaan supaya Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam konteks serantau lebih luas, kedua-dua pemimpin mengecam keras tindakan menyasarkan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) terdiri daripada anggota Batalion Malaysia (MALBATT) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Mereka menuntut keselamatan anggota PBB dijamin sepenuhnya, dan menggesa semua pihak memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap semua serangan ke atas anggota PBB dan premis mereka dikenakan tindakan.
"Mandat UNIFIL perlu dihormati sepenuhnya selaras resolusi PBB yang berkaitan, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 (2006) dan 2823 (2026)," menurut kenyataan tersebut.




Comments