Malaysia bawa Thailand, Kemboja capai gencatan senjata
- Suara Keadilan
- Jul 28
- 1 min read

Malaysia yang menjadi orang tengah berjaya membawa Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat bagi melaksanakan gencatan senjata serta-merta dengan tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.
Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
“Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan kembali kepada keadaan seperti sedia kala,” katanya dipetik.
Terdahulu Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2015 dan mempengerusikan mesyuarat khas antara kedua-dua wakil negara itu yang bermula pada pukul 3.15 petang sebelum berakhir dua jam kemudian.
Turut serta Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan sebagai penganjur bersama mesyuarat khas manakala Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.
Konflik pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu memuncak pada 25 Julai lalu sehingga mencetuskan pertempuran bersenjata di utara Kemboja.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu tercetus semula susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan menyebabkan kematian anggota tentera Kemboja pada hujung Mei lalu.
Kedua-dua negara yang merupakan anggota ASEAN itu berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad hingga menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
Sehingga Sabtu lalu, angkat kematian akibat konflik antara Thailand dan Kemboja meningkat kepada 33 orang.
Comments