top of page

Malaysia bawa diplomat asing lawat Timur Sabah, tahap keselamatan kukuh

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 26, 2024
  • 2 min read

ree

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) membawa sejumlah perwakilan asing untuk diberikan taklimat keselamatan membabitkan Zon Selamat Sabah Timur (ESS ZONE) semalam.


Inisiatif diambil oleh KDN dengan kerjasama ESSCOM itu bertujuan memberi pendedahan kepada para perwakilan asing merasai sendiri pengalaman berkenaan tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang telah semakin mengukuh di pantai Timur Sabah.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan berharap hasil program ini nanti akan memberi impak yang besar bukan sahaja kepada Malaysia amnya, tetapi juga Sabah khususnya.


"Semua negara yang diundang dalam program ini melarang rakyatnya untuk datang melancong ke pantai Timur Sabah menerusi nasihat perjalanan (travel advice) kerana berpendapat kawasan ESSZone ini berisiko dan tidak selamat.


"Justeru itu, kita amat mengharapkan selepas program ini selesai, negara-negara ini tidak meneruskan nasihat perjalanan tersebut malahan menggalakkan rakyatnya untuk datang berkunjung ke pantai Timur Sabah, khasnya," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh ESSCOMM hari ini.


Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Tawau itu dihadiri oleh perwakilan asing antaranya dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Denmark, Jerman, Perancis, Finland dan Kanada.


Saifuddin berkata, pihaknya juga berharap langkah menarik balik nasihat perjalanan itu dapat membantu meningkatkan aktiviti pelancongan di pantai Timur Sabah dan seterusnya membantu masyarakat setempat menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri itu.


"Ia bukan sahaja sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk mensejahterakan rakyat tetapi juga ESSCOM yang mahu menjadikan kawasan pantai Timur Sabah ini sebagai Zon Kesejahteraan," tambahnya.


Semua perwakilan asing tersebut telah melawat ke Pulau Mabul, Sipadan dan Kapalai di Semporna untuk melihat sendiri keadaan semasa dan suasana di pusat-pusat peranginan serta pelancongan utama yang berada di kawasan ini.


Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji Ubi, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Pengarah Majlis Keselamatan Negara Sabah, Datuk Noor Alam Khan A. Wahid Khan; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin bin Mohd. Ali.


Dalam pada itu, awal pagi ini Saifuddin Bersama Ruji dan Victor melakukan tinjauan udara ke ESS ZONE meliputi beberapa kawasan strategik pelancongan dan keselamatan melibatkan Pulau-Pulau di timur Sabah antaranya Pulau Mabul, Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan beberapa pulau lain lagi.


"Saya optimis terhadap kemampuan pasukan penguatkuasaan kita diketuai ESSCOM dalam memastikan ESS ZONE sentiasa berada pada tahap keselamatan yang terbaik," katanya dalam hantaran di Facebook.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page