Malaysia bakal jadi pemain utama grid tenaga di Asia Tenggara - PM
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Malaysia akan menjadi negara peneraju pelan integrasi grid tenaga serantau yang melengkapkan ketersambungan dari segi ekonomi antara Vietnam, Malaysia dan Singapura.
Menurut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek fasa pertama tersebut mungkin melibatkan syarikat pembekal minyak dan gas utama negara, Petronas.
"Dalam fasa pertama, apa yang dianggap lebih berdaya maju dari segi ekonomi ialah menghubungkan Vietnam ke Malaysia utara dan selatan, dan kemudiannya disambungkan ke Singapura melalui Grid Nasional kita," katanya dipetik.
Fasa seterusnya, kata beliau, grid serantau akan diperluaskan merangkumi Kemboja, Thailand dan Sarawak dengan memanfaatkan kekuatan negeri di Malaysia Timur dalam sumber tenaga alternatif seperti gas.
"Ini membuka kemungkinan membekalkan tenaga ke Kalimantan, yang mana terletaknya ibu negara baharu Indonesia dan juga ke selatan Filipina," katanya semasa sesi taklimat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, semalam.
Majlis itu dihadiri sejumlah 83 wakil media, merangkumi 42 daripada media tempatan, 18 media antarabangsa dan 23 lagi yang membuat liputan atas tugasan khas.
PM menjelaskan bahawa Malaysia akan memimpin dalam memacu kerjasama dan integrasi tenaga di ASEAN, sejajar dengan matlamat Kepengerusian ASEAN 2025 yang merangkumi daya tahan ekonomi, ketersambungan serantau dan pembangunan mampan.
Pemangkin utama bagi visi tenaga diperluaskan ini, kata PM, adalah penyelesaian isu bidang kuasa yang telah lama wujud antara Petronas dan PETROS.