top of page

Malaysia antara negara berisiko tinggi jangkitan Covid 19, percepat proses vaksinasi - Anwar


Jumlah peningkatan kes harian Covid 19 di Malaysia semakin membimbangkan kerana grafnya tidak melandai sejak darurat diisytiharkan pada Januari lalu.


Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suasana tersebut amat membimbangkan kerana negara kini berisiko mengekori negara-negara dalam kedudukan teratas dijangkiti Covid seperti India, Brazil dan sebagainya.


"Apakah kesan positif bagi negara kita? Kemudahan kesihatan kita agak baik untuk membendung Covid pada peringkat awal. Oleh itu kadar kematian masih rendah berbanding beberapa negara walaupun kes meningkat.


"Apakah berita membimbangkan? Dari kajian, risiko masih tinggi di Malaysia. Kalau kita lihat berbanding negara lain, Malaysia masih di peringkat atas. Dengan perkembangan di India yang mengkhuatirkan, jika dilihat dari jumlah penduduk, India mungkin mencatat 350,000 kes sehari dan kita hampir 4,000. Ketua Pengarah Kesihatan katakan angka itu mungkin meningkat, maka kita sudah sampai ke tahap ratio yang sama dengan India.


"Hal itu juga boleh dilihat dengan perkembangan di negeri Selangor, Kelantan dan itu membimbangkan. Tetapi apa kerumitan kita?


"Mobiliti penduduk di Malaysia lebih besar. Orang miskin bandar misalnya terpaksa bergantung kepada pekerjaan harian. Sukar untuk mereka jalakan tugas dengan terlalu banyak sekatan dan tahap kehidupan mereka akan lebih rumit. Hal ini ada kesan, bila ia berlaku dengan merebaknya wabak Covid 19," katanya dalam siaran langsung Facebook, malam tadi.


Respons kepada situasi Covid yang meruncing itu, kata Anwar, pejabat Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia telah menubuhkan satu pasukan pakar mengkaji situasi jangkitan dan bertindak memberikan syor.


Menurut beliau, pasukan itu biar pun tidak dibenar mengakses data dari Kementerian Kesihatan telah pun menjalankan kajian berdasarkan data umum dari Universiti John Hopkins, Imperial Collage, Universiti Oxford, Apple mobility data, Google mobility report, Bank Dunia dan sebagainya.


Pasukan yang dipengerusikan oleh Dr Wan Hasni dan disertai Dr Azman Hussein serta lain-lain telah membentangkan hasil kajian dan mendapati Malaysia berada dalam keadaan yang serius.


Laporan awal itu juga, kata Anwar, telah diberikan kepada kepada jawatankuasa darurat yang dipengerusikan oleh Tun Ariffin, kelmarin bagi membantu memberikan syor terbaik kepada kerajaan memerintah.


Bagaimanapun, kekangan terbesar di Malaysia, menurut Ahi Parlimen Port Dickson itu lagi, adalah kelembapan proses vaksinasi terhadap rakyat.


"Masalah vaksin, kita lihat ini mengkhuatirkan kerana tahap vaksin, kalau dilihat senarai dunia, yang paling atas adalah Israel, diikuti United Kingdom, Amerika Syarikat dan kita masih di tahap bawah. Senarai pada akhir April 2021, keberkesanan vaksin di Malaysia lebih rendah daripada Indonesia, India, Brazil dan Turki. Kita jauh lebih rendah walau ada usaha dan kempen kesedaran.


"Masalah kelewatan pembelian vaksin peringkat awal menyebabkan hal ini berbangkit. Kita akan terus buat kajian ini. Saya juga minta pasukan membuat kajian kesan vaksin kepada ekonomi, golongan B40 dan bagaimana boleh kita lonjakkan balik pertumbuan ekonomi atas kekangan yang ada," katanya lagi.


Selain itu, Anwar juga menegaskan cara menangani Covid 19 adalah lebih wajar dilakukan secara memutuskan rangkaian dengan penjarakkan fizikal.


Belau menentang usaha tidak membenarkan penjaja dan peniaga kecil-kecilan beroperasi kerana hal itu akan memburukkan kewangan golongan B40 yang sedia sukar menghadapi kemelesetan ekonomi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page