Malaysia mahu gencatan senjata 4 hari yang bakal dilaksanakan di Gaza diteruskan dengan menghentikan terus peperangan di antara Palestin dan Israel.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, dalam masa sama beliau berharap agar bantuan antarabangsa lebih banyak dibenarkan masuk ke Gaza.
"Kami mengalu-alukan (gencatan senjata empat hari di Gaza) tetapi pada masa yang sama, kami berharap banyak sokongan dan bantuan dapat diteruskan.
"Kami juga berharap agar peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza berakhir secara kekal," katanya ketika ditemuramah oleh stesen penyiar antarabangsa, Al-Jazeera, semalam.
Selain itu, kata Fahmi melalui catatan di Facebook, Malaysia akan terus kekal konsisten bersuara lantang di peringkat antarabangasa bagi mengecam serangan ganas Israel ke atas penduduk awam Palestin yang tidak berdosa.
Malaysia juga katanya, menyokong sebarang usaha untuk menghadapkan pemimpin Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung jenayah perang yang dilakukan kepada penduduk awam.
"Selain menyatakan pendirian menerusi keanggotaan badan antarabangsa, fokus juga tertumpu kepada bantuan kemanusiaan ke kawasan bergolak.
"Meskipun bukan signatori kepada Statut Rome, Malaysia turut menyokong usaha untuk mendakwa Israel atas jenayah perang berdasarkan undang-undang antarabangsa.
"Apa yang berlaku di Gaza adalah sesuatu yang bercanggah dengan sifat kemanusiaan, justeru terdapat konsensus dan sokongan yang amat besar daripada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama," kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu lagi.
Konflik di Gaza telah memasuki minggu keenam dan telah mengorbankan sekurang kurangnya 13,000 jiwa penduduk awam Palestin.
Comments