Majukan Seri Menanti sebagai hub agropelancongan - Mohd Kamarul
- Suara Keadilan

- Jul 22
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.16 Seri Menanti bertekad menjadikan sektor pelancongan dan pertanian sebagai pemacu ekonomi sekitar kawasan berkenaan.
Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa berkata, tekad tersebut selaras Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah 2035 sekali gus membuka peluang ekonomi dan menarik golongan muda kembali menetap dan membangunkan kampung halaman mereka.
"Seri Menanti nanti akan jadi satu kawasan pelancongan, akan ada aktiviti pertanian dan sebagainya.
"Golongan muda berpeluang merancakkan ekonomi tempatan menerusi pelbagai sektor—daripada agropelancongan dan kawasan rekreasi, hinggalah perkhidmatan inap desa serta perniagaan makanan tradisional Negeri Sembilan.
"Sebab itulah saya melihat potensi Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah 2035 ini perlu dipertahankan dan dilaksanakan, demi memberikan limpahan ekonomi kepada seluruh komuniti tempatan," katanya dipetik laporan media.
Sementara itu Mohd Kamarul berhasrat melihat golongan muda kembali memanfaatkan kemahiran dalam bidang bercucuk tanam, pertanian serta penanaman buah-buahan untuk memajukan kampung mereka.
Katanya, produk pertanian tempatan seperti buah longan Brazil yang ditanam di Kampung Buyau dilihat berpotensi untuk dikembangkan untuk menjana pendapatan penduduk.




Comments