Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh mendedahkan, majoriti rakyat mahu inisiatif Payung Rahmah yang diperkenal Kerajaan Perpaduan dikekalkan.
Menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Rabu Fuziah berkata, 81 peratus daripada 1,600 responden Kajian Impak Program Payung Rahmah yang dilaksana pada akhir tahun lepas berpuas hati dengan pelaksanaan program meliputi inisiatif Bakul Rahmah, Jualan Rahmah dan Pakej Rahmah itu.
"73 peratus responden pula bersetuju Inisiatif Payung Rahmah dapat mengurangkan kos sara hidup mereka.
"Sehubungan itu, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) terus komited untuk meneruskan dan memperluas Program Payung Rahmah pada 2024 sebagai satu daripada strategi menangani kos sara hidup rakyat," katanya dipetik.
Terdahulu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mahu penjelasan berhubung status terkini Konsep Rahmah dan sama ada akan terus diperluas ke bidang baharu.
Bermula 1 Mac lepas, Fuziah berkata Program Payung Rahmah telah dijenamakan semula kepada Program Payung Rahmah MADANI melibatkan tiga inisiatif baharu antaranya memperkenalkan Ihsan Rahmah oleh pihak swasta dan industri.
Inisiatif lain ialah merancang pelaksanaan Pasar Rahmah dengan memperluas inisiatif Bazar Ramadan Rahmah sepanjang bulan Ramadan tahun ini di 60 lokasi di seluruh negara dan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah serta Menu Siswa Rahmah.
コメント