top of page

'Mahu anak Sindumin jadi pemain utama industri O&G' - Yamani Hafez

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 14 minutes ago
  • 2 min read

Yamani Hafez, mantan Ahli Parlimen Sipitang calon yang mampu membawa pembangunan di DUN Sindumin
Yamani Hafez, mantan Ahli Parlimen Sipitang calon yang mampu membawa pembangunan di DUN Sindumin

Oleh: Helmi Mohd Foad


Calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa mahu memastikan warga tempatan mendapat keutamaan pekerjaan dalam industri minyak dan gas (O&G) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).


Beliau mahu golongan muda Sindumin melangkah ke menara gading serta pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya mampu bersaing dalam industri tersebut juga merebut pelbagai peluang ekonomi.


"Masanya sudah tiba untuk anak-anak tempatan bukan lagi menjadi penonton, tetapi menjadi pemain utama dalam pengembangan besar di perairan kita sendiri. Namun, saya percaya pembangunan sahaja tidak mencukupi.


"Sebagai anak jati Sipitang, saya ingin membawa suara orang Sindumin ke tempat yang sepatutnya. Aspirasi kami bukan sekadar janji di atas kertas," demikian kata beliau dalam satu rakaman video.

Yamani Hafez disenangi warga muda dan tua DUN Sindumin
Yamani Hafez disenangi warga muda dan tua DUN Sindumin

Yamani Hafez, 48, berkata beliau bertekad mahu mewujudkan pentadbiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang benar-benar berkesan, terbuka dan dekat dengan rakyat.


"Tempat di mana orang ramai datang untuk mencari penyelesaian kepada masalah asas seperti kemudahan, pendidikan dan peluang ekonomi.


"Dengan kejujuran dan ketelusan, kita akan memastikan kewajipan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan," katanya yang berdepan persaingan 10 penjuru di kerusi N.35 itu.


Yamani Hafez turut menyatakan hasratnya mengekalkan warisan budaya, kehijauan semula jadi dan keindahan masyarakat di kawasan yang diwakilinya itu bagi tujuan pembangunan ekonomi setempat.

Undi Yamani Hafez, calon no 5 dalam PRN Sabah, 29 November
Undi Yamani Hafez, calon no 5 dalam PRN Sabah, 29 November

Jelas beliau, Sindumin kaya dengan tradisi, pertanian, kraftangan dan mempunyai potensi pelancongan yang luar biasa indahnya.


"Dengan memperkukuh usahawan tempatan dan membina hubungan rapat dengan masyarakat melalui program kebudayaan, kita akan membina Sindumin yang maju, harmoni dan berjiwa.


"Ini tekad saya, Yamani Hafez, anak kepada jati Sipitang, yang mewakili Pakatan Harapan untuk membawa harapan baharu kepada Sindumin. Bersama-sama, kita akan membina masa depan yang adil, makmur dan berprinsip. Dari kita, untuk kita," katanya penuh keyakinan.


Untuk rekod, Yamani Hafez pernah menjadi Ahli Parlimen Sipitang, Sabah pada 2018 - 2022.


Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi FELCRA Berhad pada Julai 2020.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page