Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi atas kesemua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan.
Bagaimanapun peguam mewakili Zahid, Hisyam Teh Poh Teik meminta mahkamah untuk membebaskan Presiden UMNO itu sepenuhnya.
Dengan itu, pihak pendakwaan boleh mengemukakan kes terhadap Zahid pada bila-bila masa berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes berkenaan.
Hakim berkata keputusan itu dibuat memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes itu selepas Zahid mengemukakan representasi terhadap Peguam Negara.
Katanya, keputusan dibuat memandangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan menyiasat lanjut dakwaan wujud pendakwaan terpilih dalam buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness”.
"Representasi membabitkan 200 muka surat dan ada justifikasi supaya siasatan lanjut dibuat," kata Sequerah dipetik FMT.
Dalam pada itu, Zahid dilaporkan bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau sebelum ini diarah membela diri atas 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 berhubung pengubahan wang haram.
Dalam kenyataannya, Zahid berkata mahkamah belum membebaskannya kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dakwaan dalam buku memoir bekas Peguam Negara Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” belum dimuktamadkan.
"Keduanya, pengemukakan representasi belum dimuktamadkan sepenuhnya," kata beliau dipetik.
Zahid turut mengucapkan terima kasih atas khidmat peguamnya yang menjalankan tugas dengan cekap dan profesional.
"Saya terhutang budi dan terima kasih kepada rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi UMNO, ulama, guru saya, rakan saya yang diketahui dan tidak diketahui doa mereka," katanya.
Comments