Mahkamah keluar injunksi halang Papagomo terbit artikel fitnah MCMC
- Suara Keadilan

- 5 minutes ago
- 2 min read

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah injunksi interim ex-parte terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo dalam satu tindakan sivil yang dimulakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menerusi perintah itu, mahkamah menghalang Wan Azri daripada menerbitkan sebarang pernyataan berunsur fitnah terhadap MCMC serta menghentikan serta-merta penerbitan dan penyebaran kandungan memudaratkan melalui media sosial.
MCMC dalam kenyataan berkata mahkamah turut menetapkan bahawa individu terbabit tidak boleh menggunakan mana-mana platform media sosial untuk menyebarkan kandungan yang palsu, mengelirukan atau memudaratkan, sama ada melalui akaun sedia ada atau akaun baharu.
“Perintah injunksi interim ini akan terus berkuat kuasa sehingga pendengaran inter-partes atau arahan lanjut oleh mahkamah,” kata MCMC.
Tindakan itu susulan Notis Tuntutan yang dikeluarkan MCMC kepada Wan Azri pada 9 April lalu berhubung penerbitan kandungan palsu yang mendakwa MCMC menyekat laporan berita MalaysiaGazette.
Menurut MCMC, Wan Azri juga didapati berulang kali menggunakan akaun media sosial untuk menyebarkan kandungan yang memudaratkan dalam talian.
“Perintah injunksi interim dan tindakan sivil ini adalah berdasarkan undang-undang sedia ada yang memberi fokus kepada kandungan dalam talian yang boleh menjejaskan kepentingan awam, menggugat keharmonian masyarakat serta menghakis keyakinan terhadap institusi awam,” menurut kenyataan itu.
Pertikaian ini bermula selepas dakwaan berkaitan tindakan MCMC terhadap laporan MalaysiaGazette dibangkitkan melalui kandungan media sosial yang disebarkan Wan Azri.
MCMC kemudian mengambil tindakan undang-undang dengan mengeluarkan notis tuntutan sebelum memfailkan tindakan sivil terhadap individu berkenaan.
Injunksi interim ex-parte merupakan perintah sementara yang diberikan mahkamah pada peringkat awal bagi menghalang tindakan tertentu sehingga mahkamah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Perintah berkenaan akan kekal sehingga prosiding inter-partes berlangsung atau sehingga terdapat arahan lanjut daripada mahkamah.




Comments