
Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli diberi kebenaran oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk mendapatkan dokumen berhubung gaji dan elaun dibayar kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Keputusan itu disahkan Peguam Navpreet Singh yang mewakili Rafizi pada Jumaat selepas sesi pengurusan kes berkaitan kes fitnah yang difailkan oleh Shahril terhadap defendan (Rafizi).
Menurut Navpreet, Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Haron memerintahkan Sapura Energy Bhd mengemuka dokumen yang diminta Rafizi yang kini merupakan Menteri Ekonomi dalam tempoh sebulan.
"Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 15 Mei, iaitu untuk mengemas kini mahkamah berkenaan dengan pematuhan syarikat terhadap keputusan mahkamah untuk mengemuka dokumen tersebut," kata Navpreet.
Rafizi pada 24 November lalu memfailkan permohonan mendapatkan dokumen tersebut dan meminda pembelaannya yang difailkannya pada Julai tahun lalu.
Dalam permohonan itu, Rafizi memohon kebenaran mahkamah untuk Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril.
Shahril sebelum ini memfailkan saman terhadap Rafizi pada Mei berikutan kenyataan Rafizi dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya di antara 31 Mac hingga 4 April tahun lalu.
Artikel tersebut sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam Sapura Energy.