Oleh: Abdullah Zaid
Mahasiswa diseru memainkan peranan kritikal dalam membentuk masyarakat yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, mahasiswa perlu mempunyai kekuatan peribadi, termasuk sikap berintegriti (qawiyyul amin), saling berkasih-sayang, bagi memastikan pembentukan nilai masyarakat berhasil.
"Mahasiswa Islam bertanggungjawab untuk menuntut ilmu dengan tekun dan juga perlu mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian serta menyumbang kepada pembangunan ummah melalui dakwah, khidmat masyarakat, dan aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat.
"Dalam era globalisasi dan teknologi maklumat, mahasiswa Islam perlu menjadi contoh teladan yang baik, mempromosikan nilai perpaduan, toleransi, dan wasatiyyah dalam berinteraksi dengan pelbagai pihak," katanya dalam satu kenyataan pada penutupan Majlis IHTIFAL Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Peringkat Kebangsaan 2024, malam tadi.
Jelasnya, sikap berkenaan penting bagi memastikan nilai-nilai Islam itu dapat dizahirkan kepada masyarakat selain mahasiswa dinasihatkan untuk konsisten dengan pembawakan nilai terpuji.
"Mahasiswa tidak boleh kehilangan esensi, erti hakiki serta misi asasi dalam mengangkat budaya ilmu dan pendidikan," ujarnya.
Untuk rekod, penutupan Majlis IHTIFAL IPT Peringkat Kebangsaan 2024 turut dihadiri hampir 300 orang peserta Ihtifal terdiri daripada mahasiswa awam dan swasta.
Program berkenaan diadakan bagi mencungkil bakat baharu termasuk membangunkan potensi dan kebolehan mahasiswa terutama dalam kegiatan dakwah.
Antara yang hadir dalam program berkenaan adalah Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari (Naib Canselor, Universiti Tenaga Nasional); Ismail Hafiz Babron Ihsean (Pengarah Ihtifal Institusi Pendidikan Tinggi Peringkat Kebangsaan 2024); serta delegasi daripada IPT seluruh Malaysia.
Comments