Insiden pelajar Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak dibenarkan kembali ke kampus selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akibat kawasan pengajian terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menimbulkan perdebatan, sampai bilakah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan matang dalam tindakannya.
Bagi Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad, perhitungan KPT yang membenarkan pelajar balik kampung sebelum ini jelas salah dan kini membebankan mahasiswa.
Katanya, KPT perlu lebih 'panjang akal' memikirkan situasi Covid 19 untuk jangka waktu lebih ke hadapan sebelum membuat keputusan.
"Setelah lebih setahun berhadapan dengan pandemik Covid-19, KPT sekali lagi tidak berhenti menyusahkan mahasiswa.
"KPT membenarkan pelajar IPT pulang ke kampung halaman untuk sambutan Aidilfitri, dan mengakibatkan ada mahasiswa yang 'dihalau' pulang ketika mereka mahu kembali ke kampus akibat kawasan universiti terlibat dengan PKP atau PKPD.
"Bukankah sepatutnya dari peringkat awal mahasiswa tidak dibenarkan pulang? Keputusan tidak matang seperti ini bukan sahaja akan merugikan mahasiswa, malah meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 melalui pergerakan yang kerap.
"Saya sarankan KPT berhentilah menyusahkan mahasiswa, sila keluar daripada tema 'keputusan saat-saat akhir' atau 'keputusan separuh masak' yang telah menjadi tema utama kerajaan Perikatan Nasional," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pendidikan itu juga membangkitkan kembali beberapa tindakan KPT sejak setahun lalu yang telah mendera mahasiswa.
Katanya, pada PKP 1.0 arahan KPT meminta mahasiswa pulang ke kampung halaman ketika itu mengelirukan kerana sebahagian universiti meminta mahasiswa untuk kekal berada di kampus.
"Keadaan ini terjadi kerana tiada arahan yang jelas selepas PKP diumumkan. Saya melihat KPT seolah-olah tertidur ketika arahan dan panduan daripada mereka amat diperlukan.
"Lebih kurang enam bulan selepas itu, ada pula isu penangguhan pendaftaran (secara fizikal) pelajar di beberapa universiti yang datang pada saat-saat akhir.
"Akhirnya, pelajar-pelajar yang perlu melintasi Laut China Selatan untuk mendaftar, terkandas bersama keluarga mereka. Mujurlah saya melihat beberapa persatuan mahasiswa membantu mahasiswa baharu dan keluarga mereka," katanya lagi.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Setiawangsa itu menasihatkan KPT selepas ini agar melihat secara kritikal impak terhadap keputusan-keputusan yang mereka ambil, terutamanya jika ia datang pada saat-saat akhir.
Commenti