M'sia cadang tubuh Kementerian Undang-Undang, tingkat ekosistem perundangan
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Malaysia sedang menimbang penubuhan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memperkukuh ekosistem perundangannya sekali gus meningkatkan peranan negara ini dalam kerjasama serantau di bawah ASEAN, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata langkah itu akan memberi keselarasan lebih besar kepada sistem perundangan domestik berbanding susun atur sedia ada yang menempatkan portfolio undang-undang di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Kita sedang serius mempertimbangkan penubuhan Kementerian Undang-Undang, satu langkah yang bukan sahaja memastikan keselarasan ekosistem undang-undang negara tetapi juga membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada ASEAN Law Forum 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn
Pada masa ini, portfolio undang-undang dipegang oleh Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Anwar berkata usaha menubuhkan kementerian khusus itu selari dengan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang memilih tema Inclusivity and Sustainability iaitu memastikan undang-undang berfungsi untuk semua lapisan masyarakat serta membina institusi yang teguh dan diyakini rakyat.
Menurut beliau ASEAN juga perlu melangkah lebih jauh dengan memperkukuh bantuan undang-undang bersama, mekanisme penyelesaian pertikaian serta bersiap siaga menghadapi cabaran baharu seperti tadbir urus digital dan pengawalseliaan kecerdasan buatan.
Perdana Menteri menekankan tentang keutamaan ASEAN untuk memperkukuh kerjasama undang-undang sebagai teras integrasi serantau yang adil, inklusif dan mampan di era digital.
Beliau berkata undang-undang mesti berfungsi untuk semua lapisan masyarakat serta membina institusi yang berintegriti dan diyakini rakyat.
“Inclusivity bermaksud undang-undang mesti memberi manfaat kepada setiap insan, komuniti dan generasi. Keadilan bukan hanya wujud dalam prinsip tetapi mesti dirasai dalam kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memilih tema Inclusivity and Sustainability bagi memastikan kerangka undang-undang dan tadbir urus serantau terus relevan serta tahan uji menjelang Wawasan ASEAN 2045.
Menurut Anwar, kepelbagaian tradisi undang-undang dan budaya dalam kalangan negara anggota bukan penghalang, sebaliknya kekuatan yang perlu diselaraskan dalam rangka kerja bersama berasaskan keadilan, tadbir urus baik dan saling menghormati.
Anwar yang menekankan komitmen terhadap keamanan dan keadilan berkata ASEAN telah membuktikan bahawa pertikaian boleh diselesaikan melalui dialog dan diplomasi berprinsip, berlandaskan semangat konsensus dan saling menghormati.
“Sejarah menunjukkan konfrontasi hanya membawa ketidaktentuan sedangkan dialog membina kepercayaan untuk kestabilan yang berkekalan.
"Kita melihat baru-baru ini apabila ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja berjaya diredakan melalui mediasi Malaysia dengan sokongan kolektif ASEAN, hingga kedua-dua pihak bersetuju gencatan senjata,” katanya.
Beliau menegaskan kejayaan itu bukan sahaja satu kemenangan diplomasi tetapi peringatan juga bahawa ASEAN mampu bangkit mengatasi perpecahan dan mengukuhkan peranan sebagai penjaga keamanan serantau.
“Tiada kenyataan, walau secermat mana dirangka akan mengubah kehidupan rakyat. Yang penting ialah tekad untuk menterjemah aspirasi kepada tindakan dan visi kepada kemajuan nyata untuk rakyat kita,” katanya.