top of page

Lynas diberi lesen FOL tempoh 10 tahun dengan syarat ketat

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 4 hours ago
  • 2 min read
Datuk Chang Lih Kang mengumumkan pembaharuan lesen FOL kepada Lynas di Bangunan Parlimen
Datuk Chang Lih Kang mengumumkan pembaharuan lesen FOL kepada Lynas di Bangunan Parlimen

Kerajaan telah meluluskan pembaharuan lesen Peringkat Pengendalian Penuh (FOL) kepada pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk tempoh 10 tahun bermula esok dengan syarat ketat, termasuk larangan pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) baharu bagi residu Water Leach Purification (WLP) yang melebihi had kawalan di bawah Akta 304.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, kelulusan berkenaan dibuat selepas melalui penilaian teknikal menyeluruh, semakan pematuhan terhadap perundangan serta pertimbangan kepentingan strategik negara dan komitmen yang diberikan oleh syarikat tersebut.


"Kelulusan ini dibuat dengan pendirian yang jelas, tiada lagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal baharu pada masa hadapan bagi residu WLP yang melebihi had kawalan di bawah Akta 304.


"Selepas tempoh lima tahun pertama, pengeluaran residu radioaktif hendaklah dihentikan sepenuhnya dan residu radioaktif yang dihasilkan dalam tempoh tersebut hendaklah dineutralkan melalui pengekstrakan torium atau kaedah rawatan yang diluluskan ke tahap kurang daripada 1 Becquerel (Bq) per gram.


"Ia bermakna tiada lagi pengumpulan residu radioaktif secara berterusan selepas tempoh lima tahun berkenaan.


"Ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada lagi pertambahan residu radioaktif secara berterusan dalam negara kita," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.


Lih Kang memaklumkan komitmen berkenaan melalui pemantauan berterusan menerusi sistem pemantauan sinaran alam sekitar (ERMS) yang berfungsi memantau serta mengesan sebarang peningkatan bacaan sinaran secara masa nyata.


Beliau menjelaskan, data tersebut meningkatkan kesiapsiagaan kerajaan dan membolehkan tindakan awal diambil bagi mengurangkan risiko radiologi kepada orang awam dan alam sekitar.


Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Tenaga Atom telah menerima surat permohonan daripada Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk pembaharuan lesen peringkat pengendalian penuh pada 15 Januari 2025 dengan tempoh permohonan (selama) 15 tahun.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page