top of page

Lulusan TVET mudah dapat kerja, banyak jawatan kosong

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 29
  • 2 min read

ree

Lulusan dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai peluang besar dalam kerjaya apabila lebih 50 peratus iklan pekerjaan yang ditawarkan majikan di negara ini melibatkan bidang tersebut.


Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata sebanyak 230,817 kekosongan jawatan berkaitan TVET diiklankan melalui MYFutureJobs yang dikendalikan kementerian dari Januari hingga 18 April lalu.


"Jumlah itu mewakili lebih 51 peratus daripada keseluruhan 445,875 kekosongan jawatan yang ditawarkan dalam tempoh sama," katanya ketika merasmikan Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs @Hari Pekerja 2025 di Pekarangan Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.


Steven Sim berkata, sejumlah 700,474 kekosongan jawatan melibatkan TVET diiklankan melalui portal MYFutureJobs pada tahun lalu, sekali gus menyaksikan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran.


Daripada jumlah itu katanya sebanyak 99,315 penempatan pekerjaan berkaitan TVET direkodkan menerusi portal MyFutureJobs sepanjang tahun lepas.


Berdasarkan statistik terbaru kata beliau seramai 17,335 lulusan TVET berjaya mendapat pekerjaan melalui portal MYFutureJobs dari Januari hingga 4 April lalu.


"Antara sektor utama yang menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan TVET ialah sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor, serta pengangkutan dan penyimpanan," ujarnya.


Sementara itu, Sim berkata, ekspo selama empat hari hingga 1 Mei di Axiata Arena itu menawarkan 10,000 peluang pekerjaan, selain pejabat PERKESO di 12 negeri mengadakan temu duga secara serentak dengan menyediakan 1,379 kekosongan jawatan.


Beliau berkata, edisi kali ini menyaksikan penyertaan 158 majikan iaitu peningkatan 53.4 peratus berbanding tahun lalu, manakala kekosongan jawatan yang ditawarkan melonjak 21.6 peratus kepada 11,379 peluang pekerjaan.


Purata gaji ditawarkan dalam ekspo kali ini ialah antara RM2,500 ke RM3,000 dengan gaji maksimum mencecah RM15,000, kata Sim.


Untuk rekod, MYFutureJobs telah mengiklankan hampir 1.9 juta jawatan kosong sejak tahun lalu hingga suku pertama tahun ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page