LUAS berjaya kawal pencemaran air sungai di Hulu Kuang



Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berjaya mengawal pencemaran air di hulu Sungai Kuang berikutan kebakaran besar yang memusnahkan sebuah kilang pemprosesan plastik pada petang 30 Oktober lalu.


Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, tindakan menangani pencemaran bau sekitar 3 ton dari sisa kebakaran kilang berkenaan dilakukan dengan menggunakan bahan karbon aktif.


"Siasatan pihak LUAS dan Air Selangor mendapati sisa kebakaran (yang mengalir ke sungai) telah membeku pada permukaan air. Sisa kehitaman kesan bahan terbakar mengalir masuk ke alur air di hulu Sungai Kuang sehingga menyebabkan kesan bau sekitar 3 ton melalui pensampelan bau yang telah dilaksanakan. Jarak insiden ke muka sauk loji rawatan air (LRA) terdekat iaitu di Rantau Panjang dalam anggaran 33km.


"LUAS dan Air Selangor melaksanakan langkah awal nyah bau dengan meletakkan 43 beg activated carbon untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang (aliran masuk daripada Sungai Kuang) sekali gus mengelakkan bau dari sisa kebakaran tersebut mengalir sehingga ke Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor. Dilaporkan pihak Bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut sekitar jam 4.30 pagi.


"Sehingga kini, LUAS, Air Selangor dan MPS sedang dalam proses untuk menghentikan sisa kebakaran daripada mengalir ke dalam sungai melalui cadangan pembinaan ban tanah di lokasi," katanya dalam satu kenyataan.


LUAS juga, kata Hee lagi, akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada kilang terlibat berkenaan risiko dan ancaman insiden berkenaan kepada kualiti sumber air.


Hee turut mengesahkan tiada henti tugas LRA dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna dilaporkan. Langkah-langkah mitigasi susulan, katanya, akan dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio