LKIM fokus tarik minat golongan belia majukan industri perikanan
- Suara Keadilan

- Jun 16
- 1 min read

Kerajaan MADANI terus komited memperkukuh industri perikanan negara dengan memperkasa penyertaan golongan muda melalui pelbagai inisiatif strategik.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kesinambungan dan kelestarian sumber laut negara.
"Pelbagai bentuk bantuan disediakan menerusi agensi seperti institusi kewangan dan Geran Agropreneur Muda (Scale Up).
"LKIM juga menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang seperti akuakultur dan pelancongan perikanan," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI dan Perasmian Portable Container System (PCS) Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok di Pantai Baru, Melawi pada Ahad.
Dalam majlis itu, seramai lima nelayan muda menerima sumbangan peralatan perikanan bernilai RM250,000 termasuk enjin bot bagi membantu meningkatkan keupayaan operasi mereka di laut.
Sementara itu menurut Muhammad Faiz, hanya sekitar 30 peratus daripada 112,000 nelayan berdaftar ketika ini merupakan golongan belia bawah 40 tahun, sekali gus menuntut langkah segera untuk menarik lebih ramai penyertaan generasi muda.
"Industri perikanan perlu dimodenkan agar sesuai dengan kecenderungan dan minat generasi baharu. Penggunaan teknologi seperti dron dan peralatan maritim moden akan menjadikan kerjaya nelayan lebih menarik serta berdaya saing," jelasnya.
Tambahnya lagi, kerajaan turut bercadang memperkenalkan program ‘Tekong Muda’ bagi memastikan warisan dalam sektor perikanan tidak terputus, memandangkan sebahagian besar tekong laut dalam ketika ini terdiri daripada warga asing, khususnya dari Thailand.









Comments