Lima tahun defisit mengecil, fiskal negara makin kukuh - Anwar
- Helmi Mohd Foad

- Jul 16
- 2 min read

Kerajaan terus komited melaksanakan pembaharuan fiskal secara bertanggungjawab bagi memastikan kemampanan ekonomi negara di sebalik dakwaan pembangkang bahawa nisbah hutang negara berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata kerajaan melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) menetapkan sasaran jelas untuk mengurangkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus daripada KDNK dalam jangka sederhana serta memastikan paras hutang tidak melebihi 60 peratus daripada kadar pertumbuhan negara.
"Akta ini memastikan setiap pinjaman baharu hanya digunakan bagi membiayai projek pembangunan yang produktif dan mampu memberi pulangan kepada ekonomi negara.
"Komitmen Kerajaan dalam pelan pembaharuan ekonomi dan fiskal telah membuahkan hasil apabila defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah mengecil selama lima tahun berturut-turut...," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) pada sidang Dewan Rakyat yang dimuat naik di laman web Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan defisit fiskal mengecil daripada 6.4 peratus daripada KDNK pada 2021 kepada 5.5 peratus pada 2022, 5.0 peratus pada 2023, 4.1 peratus pada 2024, 3.7 peratus pada 2025 dan disasarkan terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun ini.
Seiring dengan itu, kata beliau keperluan pinjaman baharu kerajaan turut berkurangan daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, RM77 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion pada 2025.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan sedang mengawal keperluan pembiayaan baharu secara lebih berhemat," katanya.
Beliau memaklumkan kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan semakin bertambah baik apabila nisbah hutang kepada KDNK menurun kepada 63.1 peratus setakat akhir Mac 2026 berbanding 65.2 peratus pada 2025.
Jelasnya hutang statutori berada pada paras 61.9 peratus daripada KDNK, masih di bawah had 65 peratus yang ditetapkan kerajaan.
Selain itu, pinjaman luar pesisir berjumlah RM20.8 bilion, jauh di bawah siling RM35 bilion manakala Bil Perbendaharaan Malaysia sebanyak RM4.5 bilion juga kekal di bawah had RM10 bilion, katanya.
Mengenai kemampuan mengurus hutang, beliau menegaskan kerajaan tidak pernah gagal memenuhi semua obligasi pembayaran faedah dan bayaran balik hutang yang matang.
"Ini mencerminkan kedudukan hutang negara yang masih terurus, disokong oleh pasaran kewangan domestik yang mendalam, profil hutang yang stabil dan pengurusan fiskal yang berdisiplin," katanya.




Comments