LIMA 2025: Capaian Internet di Langkawi pada tahap kelajuan tinggi
- Suara Keadilan
- 18 minutes ago
- 1 min read

Hasil pemantauan yang dilakukan Kementerian Komunikasi, capaian Internet di tapak Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) dan kawasan di seluruh pulau peranginan itu berada pada tahap kelajuan tinggi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan sentiasa memastikan acara berprestij itu akan dapat diikuti dengan baik oleh penduduk tempatan dan seluruh rakyat menerusi siaran televisyen dan media sosial.
"Alhamdulillah kali ini kita telah uruskan banyak masalah dan (capaian) Internet kali ini lebih baik daripada dulu. Bukan hanya di tapak ekspo ini diadakan, tapi kita lihat di seluruh Pulau Langkawi keadaan Internet makin baik.
"Jadi insya-Allah kita akan teruskan pemantauan, pastikan acara yang gilang-gemilang ini dapat dinikmati semua rakyat Malaysia," katanya dipetik dari agensi berita nasional Bernama selepas meninjau Pusat Pemantauan Telekomunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di LIMA’ 25, Langkawi hari ini.
Beliau turut melawat ruang pameran Telekom Malaysia, Pavillion MCMC dan Measat Global Bhd (Measat).
Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan dalam hantaran di Facebook berkata penganjuran pameran maritim itu mencerminkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menerajui kerjasama serantau dan memacu inovasi pertahanan serta aeroangkasa.
"Pembukaan LIMA 2025 amat menakjubkan!" ujarnya.
LIMA’ 25 merupakan pameran terbesar industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara, sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.