top of page

Letupan paip gas: Siasatan dilakukan secara bebas, Selangor tidak campur tangan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 3
  • 2 min read

ree

Kerajaan Negeri Selangor tidak campur tangan dalam penyediaan laporan siasatan insiden letupan salur gas di Putra Heights awal April lalu, sebaliknya ia dilakukan secara telus dan bebas, demikian menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar).


Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri hanya terlibat sebagai satu daripada 212 saksi dalam siasatan kejadian tersebut.


"Realitinya, (siasatan) dilakukan dengan penuh bebas tanpa ada campur tangan kerajaan negeri. Jadi, (jika) ada satu pihak yang mempertikaikan, tidak semestinya kita anggap itu sebagai laporan yang tidak betul," katanya dipetik Bernama.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang, Selangor 2035 (Penggantian) di Cyberjaya hari ini.


Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu yang juga Ahli Parlimen Sepang dan Timbalan Yang Dipertua MP Sepang, Muhamad Shah Osim.


Amirudin berkata tumpuan pada masa ini adalah memberikan ruang kepada Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan meneliti laporan insiden itu dan mencadangkan langkah tertentu kepada kerajaan negeri.


"Siasatan itu dibuka kepada orang awam selepas mendapat kebenaran dan mereka (mana-mana pihak) boleh semak dan kenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan di situ ada gambaran pihak yang bertanggungjawab atau penjelasan.


"Kita tidak bolehlah anggap semua benda ini (kononnya) ada orang yang mengganggunya. Persepsi (sebegitu) tidak boleh kerana perlu dibuktikan secara tepat dan dibuktikan secara saintifik," katanya.


Dalam pada itu, Amirudin memberitahu rumah penduduk yang musnah dalam tragedi tersebut akan dibina semula oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan setakat ini kerja pembinaan berjalan lancar.


Semalam laporan media menyebut Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) mendesak kerajaan menyemak semula keputusan laporan siasatan insiden itu selain mahu sebuah badan penyiasat bebas ditubuhkan.


Sebelum ini polis mengklasifikasikan insiden letupan saluran gas di Putra Heights sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) susulan hasil siasatan jenayah yang tidak menemukan sebarang unsur kecuaian atau sabotaj.


Pada 30 Jun lalu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam laporannya merumuskan bahawa "kegagalan paip disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup."


Hasil siasatan jabatan itu juga mendapati "lokasi kegagalan tersebut bukan akibat aktiviti di permukaan tanah sebaliknya kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong (saluran paip) dengan baik."


Insiden letupan paip gas ketika umat Islam merayakan Aidilftri pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah manakala 57 lagi mengalami kerosakan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page