Lengkapkan bantuan banjir, kaji perubahan iklim terhadap pembangunan Selangor



Bencana banjir luar biasa yang melanda Selangor pada penghujung 2021 memerlukan muhasabah dan kajian semula strategi Kerajaan Negeri.


Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam perutusan Tahun Baharu 2022 berkata, azam tahun baharu beliau dan Kerajaan Negeri adalah menyempurnakan bantuan banjir kepada rakyat dalam kadar termampu dan meneliti strategi menghadapi banjir pada masa hadapan.


"Kerajaan Negeri telah mula menyerahkan sumbangan bantuan Selangor Bangkit bernilai RM1,000 kepada mangsa banjir semenjak 28 Disember 2021.


"Setakat ini, 2,531 individu di semua sembilan daerah Petaling, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Gombak, Sabak Bernam dan Hulu Selangor telah mendapat manfaat daripada bantuan ini, menjadikan jumlah awal sehingga ini RM2.5 juta.


"Kerajaan Negeri juga dalam rangka menyediakan bantuan dapur gas dan lain-lain bagi menampung beban yang dihadapi mangsa banjir.


"Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri turut mengecualikan bayaran bil air selama sebulan, mengecualikan bayaran pinjaman perniagaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) serta menggerakkan hampir kesemua aset berjumlah 1,672 kenderaan serta jentera dengan anggota seramai 14,511 orang bagi membantu mengurusetiakan bencana banjir ini," katanya.


Menurut MB, tindakan segera bagi mengekalkan kualiti kehidupan rakyat dengan membersihkan puing puing akibat banjir menggunakan khidmat anak syarikat kerajaan negeri seperti KDEB Waste Management amat perlu bagi menghindari bau busuk serta kemungkinan wabak penyakit


KDEB katanya, telah menyediakan sebelas stesen pengumpulan sementara dengan 3,023 RORO (tong sampah pukal), 224 jengkaut dan 35 lori sewaan yang telah berjaya mengutip 13,000 tan sampah untuk kemudahan dan keselesaan semua.


Bagi melancarkan gerak kerja pascabanjir, kata beliau lagi, sukarelawan naungan Kerajaan Negeri seperti Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor berjumlah 2,500 orang turun padang untuk kerahan tenaga membantu proses pembersihan pascabanjir.


Bergerak ke hadapan, kata Amirudin, Kerajaan Negeri akan melakukan anjakan paradigma dalam pembangunan bagi mengelak banjir dan pelan mengurus banjir yang lebih komprehensif pada tahun tahun mendatang.


"Bencana banjir 2021 seharusnya menjadi asbab untuk kita melakukan suatu anjakan paradigma. Acap kali ditegaskan perubahan iklim merupakan suatu cabaran besar. Namun amaran ini sering diremehkan. Kita memandang alam sebagai sesuatu yang layak ditakluk sedangkan manusia dan alam berakarkan suatu hubungan akrab yang jitu.


"Mengambil iktibar daripada pelbagai faktor ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan perubahan iklim (climate change) sebagai salah satu elemen penting dalam sebarang perancangan di masa hadapan.


"Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga Selangor. Semoga iltizam, ikhtiar dan usaha kita untuk tahun hadapan lebih baik berbanding tahun ini, insya-Allah," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER