Lembaga Pengampunan: Kenapa sekarang baru cakap undang undang Islam?
- Suara Keadilan
- Aug 29, 2023
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan Pas mempertikaikan peranan Lembaga Pengampunan melibatkan Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu mengundang perbahasan meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Pas bukanlah pihak yang selayaknya mempertikaikan peranan Lembaga Pengampunan sama ada bertentangan ajaran Islam atau sebagainya, kerana parti itu tidak pernah menyentuh isu berkenaan sepanjang 3 tahun memerintah Malaysia dari 2020 - 2022.
Malah, katanya, Pas boleh meminda Perlembagaan Persekutuan sekiranya mereka mahu ketika beberapa pindaan mengenai Perjanjian Malaysia dan akta anti lompat parti dilaksanakan dengan kerjasama Pakatan Harapan pada waktu itu dan diluluskan.
"Kenapa sekarang bila jadi pembangkang baru nak bercakap soal menegakkan undang undang Islam?
"Semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin dan kerajaan BN-PN pimpinan Ismail Sabri Yaakob, Pas adalah komponen penting dalam pentadbiran kedua dua Perdana menteri itu (kenapa tidak ditimbulkan isu)," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Jelas Hassan, Pas pada era pemerintahan Muhyiddin berada dalam kedudukan paling selesa kerana Menteri Undang-Undang waktu itu daripada parti tersebut.
Namun, kata beliau, parti Islam yang diterajui Hj Hadi tersebut tidak melakukan sebarang pindaan berkaitan isu Lembaga Pengampunan.
"Pas tidak buat apa-apa untuk pinda Perlembagaan Persekutuan dalam soal Lembaga Pengampunan agar menurut hukum Islam seperti yang dikehendaki oleh Tan Sri Hadi Awang, Presiden Pas.
"Peluang yang ada pada Pas untuk rombak undang-undang negara ketika mereka jadi kerajaan, tetapi kenapa tidak buat apa-apa?" soalnya.
Tambah Hassan, perkara yang lebih mengecewakan, Pas yang pernah menjadi kerajaan selama 33 bulan juga tidak membawa Rang Undang-Undang 355 (RUU355) sehinggalah tamat penggal pemerintahan pada November tahun lalu.
"Saya tunggu juga bila Pas nak rombak Perlembagaan, tunggu juga bila Pas nak bentang RUU355, tetapi tidak berlaku sehinggalah parlimen penggal ke 14 bubar untuk beri laluan kepada PRU15," ujarnya.
Justeru, kata Hassan, kegagalan Pas untuk membawa pindaan dan rombakan yang diperjuangkan selama ini merupakan satu kegagalan yang ketara kepada parti Islam itu.
"Pas telah hilang peluang yang ada tetapi tidak ada inisiatif dan kesungguhan untuk menegakkan undang-undang Islam seperti yang dicanangkannya.
"Dalam hal ini, Pas tidak jujur dengan cita-cita perjuangannya sendiri. Apabila dia ada kuasa sedikit dia tidak mencuba untuk berbuat sesuatu yang konkrit untuk tegakkan undang-undang Islam," kata Hassan lagi.
Kelmarin, Presiden Pas Hj Hadi berkata negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah secara tidak sesuai dengan syariat Islam. Katanya, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan yang terdiri daripada Agong, Perdana Menteri dan Peguam Negara.
Oleh itu, beliau menggesa peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.
Comments