Kenyataan Ketua Penerangan PN, Azmin Ali bahawa beliau mahu berehat seketika daripada politik dipersoalkan banyak pihak.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, kenyataan itu dilihat tidak bertanggungjawab kerana Azmin masih merupakan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dan tempoh beliau berkhidmat masih ada beberapa bulan lagi sebelum DUN dibubarkan.
"ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali telah mengumumkan bahawa beliau akan berehat seketika daripada politik. Dalam ciapan di laman Twitter beliau menyatakan hasrat berehat seketika dalam karier politik untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Ramai berpendapat keputusan berkenaan dibuat kerana kecewa selepas tewas kepada anak didik beliau di Gombak pada PRU-15 lalu dan ada juga berpendapat Azmin khuatir akan ada kes mahkamah terhadap beliau.
"Tindakan yang dibuat Azmin jelas menunjukkan beliau seorang wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab terhadap pengundi dan penduduk di kawasan beliau.
"Saya yakin walaupun beliau berehat dan tidak berkhidmat kepada rakyat, Azmin masih menerima elaun sebagai ADUN Bukit Antarabangsa," kata Razeef dalam kenyataan hari ini.
Menurut pimpinan KEADILAN Sabah itu, adalah lebih baik Azmin membuat keputusan untuk berehat terus daripada politik kerana selagi menjadi wakil rakyat, beliau wajib memberikan khidmat kepada rakyat sehingga tamat penggal.
Beliau mempersoalkan adakah pemimpin Perikatan Nasional memang suka 'makan gaji buta' seperti beberapa Duta Khas yang dilantik tanpa fungsi pada era pentadbiran Perikatan Nasional dahulu?.
Tambah Razeef, pendirian tidak tetap dan berbolak balik Azmin ketika ini merupakan balasan daripada tindakannya mengkhianati KEADILAN dan Pakatan Harapan pada 2020 lalu.
Akibatnya, pengundi di Parlimen Gombak yang diwakilinya tidak lagi mempercayai beliau dan mungkin akan menerima nasib sama di DUN Bukit Antarabangsa pula.
"Saya ingin menasihati Azmin jika beliau ingin berehat, maka berehatlah dari berpolitik untuk selama-lamanya memandangkan kreadibiliti beliau telah rosak dan tidak mungkin rakyat akan memberikan kepercayaan kepada pengkhianat seperti beliau walau berkali beliau 'reset' politik," katanya lagi.
Untuk rekod, Azmin tewas di parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke 15 lalu dikalahkan oleh rakan lamanya Datuk Seri Amirudin Shari dengan majoriti melebihi 10,000 undi.
Comments