Lebih 14,000 akaun palsu libatkan kerabat Diraja diturunkan — Fahmi
- Suara Keadilan

- May 9
- 1 min read

Sebanyak 14,750 akaun palsu yang menggunakan nama kerabat Diraja berjaya diturunkan setakat ini hasil tindakan susulan oleh pihak berkuasa dan penyedia platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam dalam sesi menghadap bagi menyembah maklum perkembangan terkini.
"Berdasarkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta aduan awam yang diterima, sebanyak 15,296 akaun palsu menggunakan nama 26 kerabat Diraja telah dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, tindakan penurunan telah dilaksanakan dan majoriti akaun berkenaan berjaya dipadamkan oleh penyedia platform.
"Ia termasuk akaun yang melibatkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan sistem pengesahan identiti secara elektronik atau e-KYC sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga dalam persekitaran digital.
"DYMM Tuanku turut disembah maklum berhubung pelaksanaan sistem pengesahan identiti secara elektronik atau Electronic Know Your Customer (e-KYC) sebagai langkah memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan keluarga dalam persekitaran digital," katanya.
Fahmi juga menjunjung kasih atas pandangan dan nasihat Tuanku berhubung isu semasa termasuk penyalahgunaan media sosial serta isu melibatkan agama, kaum dan institusi Diraja (3R) yang semakin membimbangkan.
"Patik menjunjung kasih atas pandangan, titah serta nasihat DYMM Tuanku berhubung pelbagai isu semasa, khususnya berkaitan penyalahgunaan platform dalam talian dan isu 3R (agama, kaum dan institusi Diraja) yang mutakhir ini semakin membimbangkan," katanya lagi.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memperkukuh usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan ruang digital kekal selamat dan terkawal.




Comments