Lebih 13,000 titik akses Wi-Fi siap dipasang di universiti awam - Fahmi
- Suara Keadilan
- Jun 11
- 1 min read

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan lebih 13,000 titik akses Wi-Fi telah siap dipasang di kampus universiti awam seluruh negara setakat ini.
Menurut beliau, jumlah itu meliputi fasa pertama projek yang dilaksana Kerajaan Persekutuan dalam usahanya meningkatkan capaian Internet di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
"Secara keseluruhan, kita merancang sebanyak 32,000 titik akses akan dipasang di semua universiti awam.
"Fasa kedua sedang berjalan dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga enam minggu lagi.
"Setelah fasa kedua selesai, kita akan berbincang dengan pihak universiti untuk menilai semula keperluan tambahan dan melakukan penambahbaikan jika perlu dalam fasa ketiga nanti," katanya dipetik.
Fahmi sebelumnya hadir menyampaikan ucaptama pada Forum Suara, Siber dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.
Mengulas lanjut beliau berkata, universiti awam, program pemasangan Wi-Fi ini turut diperluas ke politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.
Mengenai forum yang diadakan, Fahmi menjelaskan bahawa ia menjadi platform penting untuk mengupas isu kebebasan media, hak bersuara dan tanggungjawab sosial dalam era digital.
Program seperti itu juga jelasnya dapat memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan pengamal industri media.
Comments