Lebih 100,000 rakyat terima Kad Pengenalan di bawah Menteri KDN, Saifuddin
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Lebih 100,000 rakyat Malaysia berjaya memperoleh kad pengenalan sejak Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula 3 Disember 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan ketara berbanding tempoh pentadbiran Menteri Dalam Negeri terdahulu.
Menurut aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Sytam Ghaz, prestasi Saifuddin dalam menyelesaikan aduan rakyat, khususnya membabitkan warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar dan golongan yang sukar hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dilihat mengatasi pencapaian era sebelumnya.
"Prestasi Saifuddin jauh meninggalkan Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainuddin waktu mereka jadi Menteri Dalam Negeri kerajaan PN 33 lalu bab menyelesaikan aduan rakyat Malaysia terutamanya warga emas, OKU, sakit terlantar dan sukar untuk membuat kad pengenalan," katanya.

Tambah Syam Ghaz, sejak Saifuddin menerajui KDN, Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di bawah JPN telah diberikan keutamaan, dan digerakkan secara lebih agresif di seluruh negara bagi menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Katanya, statistik menunjukkan peningkatan ketara jumlah penerima manfaat program tersebut dari tahun ke tahun, iaitu seramai 12,864 orang pada 2020, 10,461 (2021), 29,958 (2022), 29,340 (2023), 54,009 (2024) dan 43,656 orang sehingga November 2025.
Program MEKAR dilaksanakan secara turun padang dan menyasarkan golongan yang menghadapi kekangan fizikal atau kesihatan untuk hadir ke pejabat JPN.
"Program ini mensasarkan golongan yang sukar hadir ke pejabat JPN seperti warga emas, OKU, pesakit terlantar dan lain-lain," jelas kenyataan itu lagi.
Salah satu kisah menyentuh perasaan melibatkan Sharuddin Basir, 58, dari Gunong, Bachok, Kelantan, yang akhirnya menerima kad pengenalan warganegara Malaysia selepas menunggu selama 58 tahun, sebagaimana disorot media.
Kad pengenalan itu diserahkan oleh Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, selaku wakil Menteri Dalam Negeri.
Tegas Syam Ghaz, reformasi menyeluruh yang dilaksanakan Saifuddin di KDN serta 11 agensi di bawahnya kini benar benar menampakkan hasil.
"Reformasi besar-besaran ini membuahkan hasil satu persatu. Tahniah dan teruskan perjuangan reformasi secara menyeluruh," katanya lagi.





