Lawatan SEAPAC ke EU kukuhkan kerjasama pencegahan rasuah berinstitusi
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 2 min read

Ahli Parlimen Asia Tenggara Menentang Rasuah (SEAPAC) berjaya menyempurnakan lawatan rasmi pertama ke Kesatuan Eropah (EU), sebagai satu langkah penting ke arah pengukuhan kerjasama pencegahan rasuah yang lebih tersusun dan berinstitusi antara Asia Tenggara dan Eropah.
Ahli Parlimen Petaling Jaya merangkap Presiden SEAPAC, Lee Chean Chung, yang mengetuai delegasi tersebut berkata, lawatan berkenaan melibatkan penyertaan dalam 13 mesyuarat peringkat tinggi dengan pelbagai institusi utama EU.
"Hasil utama lawatan ini ialah perjanjian berprinsip yang dicapai bersama Jawatankuasa Kawalan Belanjawan (CONT) Parlimen Eropah untuk menubuhkan Kumpulan Kerja SEAPAC–EU CONT," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penubuhan kumpulan kerja itu akan meletakkan penglibatan antara SEAPAC dan Parlimen Eropah pada landasan yang lebih berinstitusi, tetap dan berfokuskan isu.
"Mekanisme ini akan meletakkan penglibatan masa depan kami pada landasan yang lebih terinstitusi, tetap dan berfokuskan isu, menyediakan platform berstruktur untuk kerjasama yang berterusan," jelasnya.
Chean Chung berkata, lawatan itu juga merupakan misi rasmi pertamanya sejak memegang jawatan Presiden SEAPAC pada Ogos lalu, dan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai langkah signifikan dalam usaha membanteras rasuah di peringkat antarabangsa.
"Saya percaya perjanjian itu mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam mengukuhkan pengawasan dan akauntabiliti parlimen, dan membentuk hasil yang penting dan saling menguntungkan bagi kedua-dua rantau," katanya.
Pada penghujung program, delegasi SEAPAC turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Bahagian ASEAN dan Asia Tenggara di Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS), Leila Fernández-Stembridge, serta Ombudsman Eropah yang dipilih Parlimen Eropah pada Februari 2025, Teresa Anjinho.
"Secara keseluruhan, lawatan ini menandakan satu kejayaan baharu dalam kerjasama parlimen EU–SEAPAC dalam bidang integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik," ujar beliau.
Tambah Chean Chung, perkongsian yang diwujudkan, pertukaran pandangan serta tindakan susulan yang dipersetujui dijangka akan memperkukuh peranan SEAPAC dan menyumbang kepada hasil tadbir urus yang lebih baik dalam jangka panjang.
Delegasi tersebut turut bertemu Naib Presiden Parlimen Eropah yang bertanggungjawab bagi hubungan ASEAN dan AIPA, Martin HojsÃk, bagi membincangkan usaha memperdalam kerjasama antara parlimen dan memajukan agenda pencegahan rasuah.
"Saya menyatakan bahawa Asia Tenggara — termasuk Malaysia — terus menghadapi cabaran besar dalam bidang ini, menekankan nilai penglibatan parlimen antarabangsa yang berterusan," katanya lagi.
Delegasi SEAPAC terdiri daripada Naib Pengerusi Ty Sokhun (Kemboja), Naib Pengerusi Syahrul Aidi Mazzat (Indonesia) serta Ahli Ibu Arzetti Bilbina (Indonesia).





