Lawatan Presiden China rapatkan hubungan dagang kedua-dua negara
- Suara Keadilan

- Apr 17
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Lawatan Presiden China, Xi Jinping selama tiga hari ke negara ini telah berjaya merapatkan hubungan dagang antara kedua-dua negara, kata Datuk Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, bukan sahaja kejayaan merapatkan hubungan dagang, malah hubungan antara kedua-dua pemimpin juga bertambah erat.
''Saya juga melihat ia (lawatan) ini juga telah berjaya mengeratkan hubungan antara Presiden Xi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
''Dalam keadaan ekonomi dunia yang sedemikian rupa, sudah pasti Malaysia sebagai sebuah negara dagang berharap dapat meneruskan hubungan dagang dengan pelbagai negara yang ingin berdagang dengan Malaysia.
''Seperkara lagi, sudah pasti lawatan negara oleh Presiden Xi ini telah mencapai maksud tersebut,'' katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Presiden Xi memulakan lawatan negara ke Malaysia pada Selasa lalu atas jemputan Yang di-Pertuan, Agong Sultan Ibrahim.
Lawatan berkenaan merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Semalam, Anwar dan Presiden Xi Jinping menyaksikan 31 memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran nota melibatkan kementerian dan agensi kedua-dua negara.
Antara MoU yang menjadi tumpuan adalah antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya Wang Yi, yang turut menyentuh kerjasama dalam Inisiatif Keselamatan Global (GDI).









Comments