ULASAN BERITA: Lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak semalam berjaya menggerakkan lebih pantas penyelesaian masalah pentadbiran di antara kerajaan pusat dan negeri untuk mempercepatkan urusan pembangunan.
Bagi PM, lawatan semalam adalah demi memastikan kebajikan rakyat di negeri itu segera dibela selepas ketinggalan puluhan tahun berbanding penduduk di Semenanjung Malaysia.
"Alhamdulillah, selesai lawatan singkat ke Sarawak semalam. Pelbagai perkara dibincang dan dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, khususnya terkait soal pembangunan sektor kesihatan dan pendidikan.
"Kini masa untuk semua kementerian dan agensi terus bekerja bagi memastikan apa yang telah direncana segera dilaksanakan agar kebajikan rakyat Sarawak terbela dan terpelihara," kata Anwar dalam catatan ringkas di Facebook.
Menurut Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Piee Ling, antara perkara yang mencapai persetujuan bersama kerajaan pusat dan negeri semalam ialah segera dilakukan perubahan pentadbiran negara berasaskan konsep Malaysia Madani dan melipatgandakan usaha membanteras rasuah yang telah menjadi budaya dalam pentadbiran sebelum ini.
Dalam isu Pangkalan Data Utama (PADU) yang sebelum ini dipertikaikan oleh Kerajaan Negeri, kerajaan pusat telah bersetuju perolehan dan penyimpanan data akan ditambahbaik; Bantahan kerajaan Sarawak dan beberapa pihak lain ada asasnya dan kerajaan pusat akan mengarahkan Menteri Ekonomi berjumpa serta membuat penerangan khas kepada kerajaan Sarawak.
Manakala program eKasih pula, kaedah permohonan dalam talian akan diteliti secara serius berikutan masalah logistik di kawasan terpencil negeri itu.
Bagi sektor pendidikan pula, 13 daripada 15 tuntutan kerajaan Sarawak telah dipersetujui bersama. Salah satunya adalah penurunan kuasa kepada Pengarah Pendidikan Negeri berkaitan projek pembangunan. Masalah tiada dokumen untuk tujuan persekolahan pula akan dipermudahkan.
Tidak dilupakan mengenai pengurusan parti KEADILAN Sarawak yang akan dipertingkatkan dengan syor parti perlu berkembang dengan mempergiat aktiviti membantu rakyat dan Angkatan Muda Keadilan serta Wanita KEADILAN Sarawak perlu diperkasakan.
Kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) pula akan diperkemas dengan Perlantikan Pengerusi MPN menjadi kuasa penuh Presiden setelah berunding dengan kumpulan Ketua Cabang. Ketua Cabang perlu membuat rekomendasi sama ada mengekal atau membuat perlantikan baharu dan hal itu perlu disampaikan kepada presiden parti.
Terbaik.Setuju.